Rabu, 6 September 2017 | 3:25pm
PENYANYI, Ernie Zakri. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Cemas hampir hilang akaun FB

KUALA LUMPUR: Berbekal sedikit pengetahuan dunia digital, penyanyi Ernie Zakri berjaya menyelamatkan akaun Facebook (FB) miliknya daripada digodam, baru-baru ini.

Memberitahu BH Online, sebaik menyedari akaun FB yang menjadi medan mengumpul peminat sejak tujuh tahun lalu itu cuba digodam, dia pantas berbuat sesuatu.

"Jika individu yang cuba menggodam itu fikir dirinya bijak, sebenarnya tidak. Sejurus mendapat tahu akaun cuba digodam, cepat-cepat saya mendapatkannya balik.

"Tidak cukup FB, akaun Instagram saya juga cuba digodam. Namun, usaha itu gagal kerana saya menggunakan e-mel berbeza," katanya.

Ernie berkata, kes akaun media sosial digodam mungkin dianggap biasa berlaku terutama kepada individu yang mempunyai jumlah pengikut yang tinggi.

"Media sosial adalah medium saya menunjukkan hasil kerja dan mengumpul peminat sepanjang menjadi penyanyi.

"Biarpun jumlah pengikut tidak seramai artis lain, namun saya cukup menjaga akaun media sosial saya kerana ia dianggap pencapaian peribadi," katanya.

Berkongsi tip, Ernie menasihatkan individu yang menjadikan akaun media sosial sebagai tempat mencari rezeki supaya berhati-hati terutama ketika menjawab mesej peribadi.

Ernie turut menyarankan mereka menggunakan satu e-mel saja agar individu tidak bertanggungjawab tidak mudah menggodam akaun terbabit.

"Kebanyakan orang suka memaparkan e-mel di laman sosial untuk tujuan kerja. Sebenarnya, meletak nombor telefon lebih baik daripada e-mel.

"Jika kita berkongsi data e-mel, ia memudahkan kerja si penggodam," katanya yang berharap isu seumpama itu diambil perhatian oleh pihak berkuasa.

Berita Harian X