Rabu, 20 September 2017 | 9:31pm
FAZURA dapat bertemu Selena Gomez (kanan) ketika menghadiri pertunjukan sempena Minggu Fesyen New York. - Foto Instagram @missfazura

Makin 'laris', Fazura pusing dunia jumpa Selena Gomez

KUNJUNGAN Nur Fazura Sharifuddin ke New York, Amerika Syarikat (AS), baru-baru ini mencatat kenangan manis buat pelakon dan penyanyi terkenal itu.

Bukan saja berpeluang menghadiri pertunjukan sempena Minggu Fesyen New York, malah Nur Fazura atau mesra disapa Fazura, dapat bertemu dan beramah mesra dengan penyanyi antarabangsa, Selena Gomez.

Kenangan indah itu dikongsi Fazura melalui gambar yang dimuat naik di laman Instagram. Sebelum ini, tersebar cerita mengatakan penyanyi lagu Sayangi Dirimu itu bakal dipertemukan dengan Selena dalam sebuah acara di luar negara.

Berkongsi pengalaman manisnya itu, Fazura yang ketika ini masih berada di New York memberitahu, walaupun pertemuan itu berlangsung dalam masa yang agak singkat, namun cukup bermakna buatnya.

"Pertemuan kami diatur pihak Coach. Ini kerana Selena adalah jurucakap kepada jenama berkenaan bagi peringkat global.

"Saya pula dijemput untuk menyaksikan Minggu Fesyen New York. Kami jumpa tak lama kerana saya terbabit dengan sesi fotografi bersama sebuah majalah selepas itu.

"Kami sekadar bertanya khabar, bersembang dan merakamkan foto bersama.

"Pertama kali melihatnya secara berdepan, saya akui penampilan Selena sangat mengagumkan," kata pemenang trofi Pelakon Filem Wanita Popular Anugerah Bintang Popular BH 3.0 ketika dihubungi BH Plus.


FAZURA ditemubual pengacara E!, Yvette King (kanan) ketika menghadiri pertunjukan sempena Minggu Fesyen New York. - Foto Instagram @missfazura

FAZURA di New York. - Foto Instagram @missfazura

Penggambaran di Edinburgh

Tambah Fazura lagi, sikap bekas kekasih penyanyi Justin Bieber itu juga tidaklah seburuk seperti yang sering digambarkan.

"Sebelum ini, saya ada dengar kata-kata kononnya Selena sombong. Bagaimanapun, saya bukanlah seorang yang ambil peduli kerana saya percaya kepada tanggapan pertama.

"Ternyata Gomez peramah dan saat itu sangat mengujakan buat saya," katanya yang bakal meraikan usia 34 tahun pada 27 September ini.

Sebelum berangkat ke New York, destinasi pertama yang dikunjungi Fazura adalah Edinburgh, Scotland bagi menjalani penggambaran filem berjudul Ayat-Ayat Cinta 2 arahan Guntur Soehardjanto.

Menerusi filem sekuel itu, duta kepada telefon pintar Neffos ini memegang watak sebagai Brenda, iaitu seorang peguam. Fazura berlakon di samping bintang hebat Indonesia seperti Fedi Nuril, Dewi Sandra, Chelsea Islan dan Tatjana Saphira

"Pengalaman menjalani penggambaran di luar negara memang berbeza berbanding negara kita. Mereka mengalu-alukan kehadiran saya dan menganggap saya seperti keluarga sendiri.


FAZURA suka bekerja dengan pelakon yang positif. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

"Pak Guntur sebagai sutradara cukup peramah dan saya sangat senang bekerja dengannya.

"Begitu juga dengan pelakon lain. Mereka sangat peramah dan sentiasa melengkapi antara satu sama lain. Tiada langsung sifat cemburu atau suka membandingkan diri dan orang lain.

"Saya suka bekerja dengan pelakon yang positif. Ini kerana sifat itu mampu menghasilkan karya yang positif... Insya-Allah," tegas pelakon jelita ini.

Beri hadiah kepada Fattah

Tanggal 14 September lalu, pelakon gandingannya dalam drama rantaian, Hero Seorang Cinderella, Fattah Amin meraikan hari jadinya yang ke-27. Sebagai teman, Fazura tidak ketinggalan memberikan ucapan dan hadiah kepada aktor tinggi lampai itu.

Berikutan dia tidak dapat meraikan Fattah pada hari istimewa itu, adakah Fazura akan mengadakan majlis khas untuk pelakon yang digelarnya sebagai YPC (Yang Paling Comel) itu?

Seakan mengerti maksud soalan nakal itu, Fazura berkata, tiada sebarang perancangan untuknya berbuat demikian.

"Rasanya memang tiada perancangan untuk mengadakan majlis berkenaan. Lagipun, tarikhnya sudah lepas dan saya sudah membuat kejutan untuknya dengan kek dan hadiah yang dibungkus istimewa," katanya.

Terdahulu, walaupun berada jauh di bumi AS, Fazura tidak lupa menyampaikan ucapan kepada Fattah sempena hari jadinya itu menerusi Instagram.

"Selamat hari lahir Abdul Fattah bin Mohd Amin. Semoga Allah sentiasa melindungi dan merahmati mu dengan takdir kebaikan dalam dunia sampai akhirat. Amin Allahuma Amin," tulisnya.


FAZURA memegang watak peguam bernama Brenda dalam filem terbaharu, Ayat-Ayat Cinta 2. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Info

  • Fazura memegang watak peguam bernama Brenda dalam filem terbaharu, Ayat-Ayat Cinta 2 yang menjalani penggambaran di Edinburgh, Scotland.
  • Selepas tamat penggambaran, pelakon dan penyanyi ini 'terbang' ke New York untuk menghadiri Minggu Fesyen New York undangan Coach.
  • Ketika di New York, Fazura turut melawat ibu pejabat Universal Music dan berbincang mengenai projek akan datang.
Berita Harian X