Khamis, 21 September 2017 | 9:24pm
HAFIDZ berusaha menjadi hambaNya yang lebih baik secara perlahan-lahan sesuai dengan statusnya sebagai suami dan bapa. - Foto Mahzir Mat Isa
HAFIDZ menyambut bayi sulungnya pada 9 September lalu.
BIDANG dakwah masih lagi menjadi keutamaan Riz. - Foto Instagram @pu_rizz
RIZ tak berlakon adegan bersentuhan dengan yang bukan muhrim. - Foto Instagram @pu_rizz
HAFIDZ Roshdi (kiri) dan Riz Ismail gigih mengatur langkah dunia seni. - Foto NSTP

Hafidz Roshdi, Riz Ismail digelar 'Hero Islamik'

BERSANDARKAN produk keagamaan dan kesedaran menjadi hamba Allah yang baik, dua jejaka ini mula menempa nama sebagai pelakon pelapis.

Lahir daripada program pencarian, Hafidz Roshdi dan Riz Ismail, gigih mengatur langkah dunia seni dan pada masa yang sama, menjaga adab jejaka Muslim.

Tidak bertangguh merencana kerjaya selepas menyertai pertandingan Hero Remaja 2011/2012, Hafidz, 22, pantas mengikut jejak teman lain yang bersaing di pentas sama termasuk juara edisi itu, Fattah Amin.

Riz, 22, pula dicungkil bakatnya selepas menyertai program realiti, Pencetus Ummah (PU) musim keempat, tahun lalu. Tidak terhenti di situ, Riz menyertai program Akademi Sahur Asia 2017 yang turut membabitkan wakil dari Singapura, Indonesia dan Brunei.

Melihat latar belakang mereka dengan Hafidz yang bergelar bapa muda, tidak hairanlah peminat mula menggelarkan dua jejaka ini 'Hero Islamik'.

Terbaru, mereka disunting Syarikat Zeel Productions untuk membintangi drama Kelip Kelip Kota London yang akan disiarkan portal Tonton, bulan depan disusuli slot Zehra TV3, akhir tahun ini.

Hafidz memberitahu, dia berusaha menjadi hamba-Nya yang lebih baik secara perlahan-lahan sesuai dengan statusnya sebagai suami dan bapa.


HAFIDZ berusaha menjadi hambaNya yang lebih baik secara perlahan-lahan sesuai dengan statusnya sebagai suami dan bapa. - Foto Mahzir Mat Isa

"Jika berubah secara drastik itu barangkali mengejutkan buat saya berbanding Riz. Misalnya, dalam menjaga adab ketika berlakon. Kalau saya putuskan enggan bersentuhan dengan pelakon wanita, ia mungkin terlalu drastik.

"Lalu saya ambil pendekatan kurangkan adegan seumpama itu secara perlahan. Dulu babak pegang, sentuh atau intim sekalipun... ia jadi biasa. Sekarang sebagai contoh, apabila diminta cium dahi, saya menolak baik-baik dengan pihak produksi.

"Saya percaya dalam hidup ini, kita sentiasa cuba untuk menjadi lebih baik daripada sebelumnya," katanya.

Hafidz yang menyambut bayi sulungnya pada 9 September lalu, tidak pernah melihat status suami sebagai penghalang dalam berkongsi bakat lakonan.

"Status berkahwin bukan isu besar. Penonton dan peminat sudah terbuka dan bijak menilai.

"Pelakon Shukri Yahaya ada menyebut, jangan takut soal rezeki selepas kahwin. Rezeki itu akan datang dalam pelbagai bentuk. Malah, selepas mendapat anak, rezeki akan bertambah-tambah," katanya.


HAFIDZ menyambut bayi sulungnya pada 9 September lalu.

Hafidz berkata, selesai penggambaran drama Kelip Kelip Kota London, dia bergegas pula ke set drama Red Velvet yang menyaksikan dirinya bekerja dengan Neelofa dan Alif Satar.

"Tawaran tidaklah datang banyak sekali gus, tapi syukur rezeki itu tak putus. Selepas ini, ada tawaran berlakon beberapa drama lain termasuk filem yang akan menyaksikan saya menjadi hero," katanya.

Lebih matang

Adat menjadi artis, kontroversi pasti datang dan pergi. Hafidz yang sebelum ini pernah 'panas' dihambat gosip, semakin matang mengharungi pancaroba dunia seni.

"Dulu saya berlakon sekadar suka-suka. Sekarang ia menjadi punca rezeki. Saya perlu beri komitmen penuh. Ia sudah bertukar menjadi tanggungjawab. Kontroversi yang melanda membuatkan saya belajar untuk berubah menjadi insan lebih baik.

"Sejak awal lagi, saya sudah fikirkan semua ini perlu diimbangi dengan kemasyhuran. Namun, sekarang saya tak terlalu fikir soal itu. Dulu memang hendak dikejar semuanya. Tapi sekarang, apa yang penting, rezeki itu ada," katanya.

Bercerita mengenai drama Kelip Kelip Kota London, Hafidz berkata, buat pertama kalinya, dia melakonkan watak yang sarat permainan emosi.


BIDANG dakwah masih lagi menjadi keutamaan Riz. - Foto Instagram @pu_rizz

"Selalunya, saya biasa dengan watak romantik atau komedi. Sekarang, saya cuba melawan arus. Pihak produksi banyak membantu saya memberi mood sedih. Saya memang banyak berendam air mata dalam drama ini," katanya.

Hafidz berkata, dalam drama itu, dia memegang watak Syafiq yang meminati bidang muzik tetapi dihalang keluarga.

Jaga solat di set penggambaran

Melihat perjalanan karier Riz, jejaka ini bukan hanya dikenali di Malaysia, malah mula mengumpan peminat di Indonesia.

Mulanya, ramai yang melihat haluan Riz tersasar apabila terbabit dengan dunia glamor.

Namun, mendekati Riz, penuntut undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini berkongsi misi dakwah masih menjadi keutamaannya.

"Saya tidak pernah lupa dengan apa yang sedang dilalui. Memang benar, bidang dakwah masih lagi menjadi keutamaan. Saya kerap memberi kuliah dan ilmu kepada sesiapa yang memerlukan.

"Bidang lakonan hanyalah percubaan saya untuk mengembangkan dakwah dan bakat. Tidak bermakna apabila sudah bergelar pelakon, saya akan lupa diri. Masih banyak perkara baharu yang sedang saya pelajari. Saya masih boleh berdakwah dengan cara sendiri termasuk di set penggambaran," katanya.

Riz berkata, dia tidak pernah menganggap perjalanannya tersasar.


RIZ tak berlakon adegan bersentuhan dengan yang bukan muhrim. - Foto Instagram @pu_rizz

"Saya tak fikir begitu. Bayangkan, di set penggambaran, kalau saya bersolat, secara tak langsung kru dan pelakon lain turut serta.

"Sahabat saya, Hafidz juga bagus pegangan agamanya. Dengar saja azan, dia akan berhenti melakukan apa saja kerja serta-merta.

"Dakwah itu tak pernah terhenti. Ilmu yang saya ada sebaik mungkin dimanfaatkan untuk kebaikan bersama. Walaupun dakwah itu tak secara langsung, insya-Allah dengan perbuatan juga dapat mengajak ke arah yang lebih baik," katanya.

Tolak babak bersentuhan

Tambah Riz, dia tidak menyangka peluang berlakon datang menjelma.

"Saya masuk pertandingan Islamik bukan nak jadi pelakon. Tapi rezeki ke arah itu. Saya tetap menjaga apa yang perlu dan yang sesuai.

"Saya tak berlakon adegan bersentuhan dengan yang bukan muhrim atau mengenakan pakaian mendedahkan aurat seperti seluar pendek. Saya ada meletakkan syarat tertentu kepada produksi," katanya.

Berkongsi pengalaman, Riz menceritakan bagaimana syarikat produksi di Indonesia meminta melakonkan adegan berpegang tangan dengan aktres bukan muhrim.

"Mereka menyindir, kalau tak mahu berpegangan, baik berhenti saja. Namun, saya lihat situasi itu normal. Bayangkan kru di sana pun boleh dipecat sesuka hati.

"Mendengar permintaan produksi, saya menolak tawaran itu dengan baik kerana prinsip yang dipegang. Saya anggap bukan rezeki saya," katanya.

Bercerita mengenai drama Kelip Kelip Kota London, Riz memegang watak pembantu.

"Ini bukan kali pertama saya berlakon di bawah Zeel Productions. Sebelum itu, saya pernah menjayakan telefilem Jatuh Cinta dan Dosa Perempuan," katanya.

Info
Hafidz Roshdi

  • Nama sebenar Muhammad Hafidz Roshdi.
  • Menyertai Hero Remaja 2011/2012 yang dimenangi Fattah Amin.
  • Berkahwin dengan wanita pilihan, Nurul Suhada pada 30 April tahun lalu.
  • Dikurniakan cahaya mata perempuan pada 9 September lalu.

Riz Ismail

  • Nama sebenar Muhammad Haris Mohd Ismail.
  • Masih menuntut dalam bidang undang-undang di UIAM.
  • Pernah menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir pada 2012 namun pulang selepas setahun akibat pergolakan di negara itu.
  • Berasal dari Kuala Lumpur.
Berita Harian X