Jumaat, 6 Oktober 2017 | 8:05pm
Pelakon, Keith Foo (kiri) dan Emma Maembong. - Foto NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam
Pelakon, Keith Foo (kiri) dan Emma Maembong. - Foto NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Keith Foo 'pasangan' baharu Emma Maembong

KUALA LUMPUR: Selepas hampir dua tahun tidak membintangi drama televisyen, pelakon, Keith Foo, bersetuju untuk menjayakan naskhah terbitan Suhan Movies berjudul Jangan Padam Rindu.

Bakal memulakan penggambaran esok, drama 20 episod yang diangkat daripada sebuah buku itu dijadualkan menemui penonton menerusi saluran TVi.

"Saya menerima tawaran berlakon drama ini kerana ia diarahkan oleh Raja Ahmad Alauddin. Sudah empat kali saya berlakon di bawah arahannya, termasuk drama Ariana Rose.

"Selain itu, saya juga senang bekerja dengan produksi terbabit dan inilah pengalaman kedua saya bekerjasama dengan mereka. Jadi, pendek kata, saya berada dalam lingkungan yang selesa dan positif," katanya kepada BH Online.

Menurut Keith juga, beliau kini agak bebas bergerak apabila anak sulungnya, Skylar Raymond Foo, sudah berusia empat bulan. Cahaya mata perempuan itu adalah hasil perkongsian hidupnya dengan Kim Raymond yang dikahwini pada 2015.

Pada masa sama, pelakon itu mengaku sedikit sebanyak berasakan tekanan apabila sudah agak lama tidak beraksi di depan kamera.

"Apabila hendak kembali ke set penggambaran semula, pelbagai perasaan menjelma. Maklum saja, sudah agak lama saya tidak mengasah bakat lakonan, jadi ada juga rasa kekok. Tentunya banyak perkara yang harus saya pelajari semula.

"Namun, saya berharap semua perasaan itu hilang sebaik saja saya berada di lokasi nanti," katanya.

Mengenai gandingan sulung beliau bersama Emma Maembong, Keith berharap mereka dapat mencipta keserasian menerusi drama itu.

"Seperti biasa, saya akan ke lokasi penggambaran dengan hati terbuka. Saya percaya, Emma juga bersikap begitu. Semoga gandingan kami ini akan mencipta keserasian tersendiri," katanya yang menerima tawaran daripada produksi berkenaan sejak dua minggu lalu.

Sebelum Keith, tawaran melakonkan watak utama drama terbabit terlebih dulu dihulurkan kepada Kamal Adli. Begitupun, ia beralih kepada Keith atas beberapa alasan tertentu.

Berita Harian X