Selasa, 24 Oktober 2017 | 3:41pm
Penyanyi, Siti Nurhaliza ketika mengumumkan kehamilan 4 bulan di Majlis kesyukuran di rumahnya, Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur. - Foto Syarafiq Abd Samad

Gelaran Datuk Seri rezeki anak

KUALA LUMPUR: Penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza, menganggap penganugerahan darjah Seri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri sebagai penghormatan besar untuk dirinya.

Penyanyi Aku Bukan Malaikat itu menganggap sebagai rezeki bayi dalam kandungan, yang kini memasuki usia lima bulan.

"Penghargaan diterima bukan untuk saya seorang, sebaliknya buat insan seni lain. Saya yakin setiap anggota masyarakat mempunyai sumbangan dan peranan tersendiri.

"Alhamdulillah, saya menerima gelaran ini selepas 21 tahun berada dalam bidang seni. Penghormatan ini mencatat sejarah tersendiri dalam kerjaya saya," kata pemenang tujuh kali trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH ini.

Siti, 38, antara 101 penerima darjah kebesaran sempena memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang di Istana Abu Bakar, di Pahang.

Istiadat pengurniaan disempurnakan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Selain Siti, selebriti lain mendapat gelaran sama ialah Datuk Eizlan Yusof dan Datuk Maria Menado.

Pelakon kelahiran Singapura, Adi Putra pula menerima Peringkat Kedua Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk.

Pereka fesyen, Jovian Mandangie, yang dianugerahkan Peringkat Kedua Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang turut membawa gelaran Datuk.

"Rezeki nyata datang dalam pelbagai cara," kata Siti merujuk kepada beberapa anugerah diterimanya selepas mengumumkan kehamilan, baru-baru ini.

Terdahulu, sehari selepas mengumumkan dirinya hamil empat bulan pada 13 Oktober lalu, Siti memenangi kategori Duo Terbaik, Anugerah Planet Muzik (APM) 2017 di Singapura menerusi lagu Dirgahayu, dendangannya bersama Faizal Tahir.

Keesokannya pula, pada Anugerah Silet 2017 di Jakarta, lagu duet Seluruh Cinta bersama Cakra pula diumumkan pemenang kategori Lagu Tema Sinetron Tersilet.

Single itu meraih kemenangan atas kapasati lagu tema drama Cahaya Hati yang disiarkan di negara berkenaan. Lagu sama pernah memenangi Anugerah Kolaborasi Terbaik, APM 2015.

Berita Harian X