Rabu, 25 Oktober 2017 | 7:52pm

Kamal perlu bersihkan nama saya - Zahirah Macwilson

PELAKON, Zahirah Macwilson. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Pelakon, Zahirah Macwilson mengaku hubungannya dengan bintang Tombiruo, Zul Ariffin, tidak goyah walaupun dikaitkan menjadi punca keretakan hubungan cinta antara Emma Maembong-Kamal Adli.

Namun, Zahirah yang tiga tahun menjalin hubungan dan Zul, mahu Kamal tampil membersihkan namanya bagi menamatkan kontroversi itu secepat mungkin.

"Ikutkan, saya dan Zul malas hendak melayan hal ini. Tetapi selepas menimbang baik dan buruknya, saya perlu menjelaskan perkara sebenar.

"Saya berada di pihak benar dan tak perlu berselindung. Segala-galanya sudah terbukti dan tidak perlu menegakkan benang yang basah," katanya kepada BH Online.

Pelakon drama Duda Pujaan Dara itu mengakui tidak benci Emma walaupun namanya dikaitkan dalam kontroversi terbabit.

"Saya dan Emma tidak bermusuh. Sebagai wanita, saya amat memahami perasaannya dengan apa yang dilalui. Saya juga dapat rasakan sakit hatinya.

"Cuma, saya rasa tidak perlu bercakap apa-apa lagi mengenai Kamal. Saya memang rasa dimanipulasi dan seperti 'kambing hitam' dengan apa yang dilakukannya.

"Dia memalitkan saya untuk selamatkan dirinya. Saya profesional dan masing-masing tahu ada kekasih," kata Zahirah.

Zahirah berkata, pada awalnya beliau mahu mendiamkan diri kerana terikat dengan penggambaran drama, La Luna.

"Saya menunggu Kamal tampil dan berkongsi cerita sebenar, tapi tidak. Saya geram apabila Kamal cakap saya pula terhegeh-hegeh dengannya.

PELAKON, Emma Maembong. - Foto Aziah Azmee

"Dia patut mengaku saja kalau bersalah dan tak perlu babitkan orang lain. Jadilah anak jantan!" katanya yang bakal berlepas ke Bosnia, malam ini, bagi menyambung penggambaran La Luna.

Ditanya adakah beliau sudi bergandingan semula dengan Kamal selepas apa yang berlaku, Zahirah berkata, buat masa ini takkan berbuat begitu.

Mengenai insiden menonton wayang dan berhibur di pusat karaoke dengan aktor terbabit, Zahirah menegaskan mereka tidak keluar berdua-duaan, sebalik bersama rakannya yang lain.

"Kisah berhibur di pusat karaoke pula, sebenarnya majlis itu sempena tamat penggambaran drama Duda Pujaan Dara. Saya dapat tahu, majlis itu ditaja oleh Kamal. Saya hadir kerana ia membabitkan produksi," katanya.

Kata anak pelakon dan bekas bekas penyampai berita TV3, Zainol Macwilson, berkata hubungan beliau dan Zul berjalan seperti biasa.

"Dia tahu dan kenal siapa saya. Dia juga mempercayai saya. Malah kami berempat pernah berjumpa, baru-baru ini.

"Saya rasa, tidak perlu nak heret Zul untuk menyokong apa saya lakukan ini. Biar saya selesaikan sendiri. Ia pun tiada kaitan dengan dirinya," kata Zahirah.

Berita Harian X