Rabu, 1 November 2017 | 8:19pm
NUR Fazura.

Album Fazura ke pentas antarabangsa

KUALA LUMPUR: Usaha untuk memperkenalkan nama Nur Fazura Sharifuddin sebagai penyanyi di luar negara diperhebatkan menerusi pembikinan album perdananya berjudul Fazura yang bakal menemui peminat, 3 November ini.

Menurut Nur Fazura atau lebih akrab disapa Faz, antara strategi yang digunakan adalah menerusi penghasilan sebuah lagu Inggeris berjudul Only God Knows hasil ciptaan Megat Fazly dan lirik oleh Shanel Shanty.

"Lagu ini dirakamkan dalam dua versi, iaitu dalam bahasa Inggeris dan Melayu. Bagi versi Melayu, ia menggunakan judul Hanya Tuhan Yang Tahu dengan liriknya ditulis oleh Shah Shamshiri.

"Jujurnya, lagu ini bersifat peribadi buat saya. Kalau sesiapa dengar pun, pasti dapat rasai perasaan itu.

"Saya dimaklumkan, lagu terbabit juga akan dipromosikan secara global dan syarikat rakaman percaya, ia mampu memperkenalkan nama saya pada peringkat antarabangsa, insya-Allah," katanya kepada BH Online.

Selain itu, Hanya Tuhan Yang Tahu juga besar kemungkinan bakal dijadikan lagu tema filem terkini lakonan saya, Lahzeye Bi Payan, arahan Bernard Chauly.

"Kali pertama Bernard mendengar lagu itu, dia terus menangis. Dia turut menunjukkan minat untuk memuatkan lagu versi Melayu berkenaan dalam filem arahannya itu," kata bintang berusia 34 tahun ini.

Album yang mengambil masa setahun untuk disiapkan itu memuatkan sembilan lagu, antaranya Bangun, Bisa Apa, Cinderella, Cinta Langka, Hanya Tuhan Yang Tahu, Only God Knows dan single pertamanya, Sayangi Dirimu, yang dirakam semula dalam bentuk akustika.

38 dibaca
Berita Harian X