Khamis, 23 November 2017 | 9:33am
PENYANYI, Ella, ketika menghadiri majlis sidang media sempena konsert beliau bersama MPO di DFP. - Foto Aswadi Alias
PENYANYI, Ella, ketika menghadiri majlis sidang media sempena konsert beliau bersama MPO di DFP. - Foto Aswadi Alias

Konsert Ella di DFP: Ada pihak terasa hati

KUALA LUMPUR: Ratu rock, Ella, mendedahkan ada pihak yang berasa jauh hati dengannya gara-gara Konsert Ella Live With The MPO: A Rock Queen's Journey yang bakal berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 2 dan 3 Disember depan.

Menurut penyanyi yang baru saja muncul dengan album baharu berjudul Peace Love Rindu itu, kejadian berkenaan berlaku ketika sesi pemilihan lagu bakal dipersembahkannya pada konsert yang bakal diiringi kumpulan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) itu.

"Berikutan masing-masing mahu lagu pilihan mereka dinyanyikan pada konsert itu, akhirnya sesi terbabit bertukar menjadi sesi bertegang urat, hingga ada yang 'sentap' apabila lagu mereka tidak dipilih.

"Ella akui, memang sukar untuk memilih lagu yang sesuai untuk gubahan orkestra dan pada masa sama menepati cita rasa peminat," katanya pada sidang media konsert berkenaan di ibu negara.

Hadir sama, konduktor yang bertanggungjawab memimpin konsert berkenaan, Ahmad Muriz Che Ros.

Pada sidang media itu, Ahmad Muriz sempat juga bergurau dengan memberitahu, beliau antara pihak yang terasa hati apabila lagu yang disukainya tidak terpilih.

"Lagu apa yang tidak terpilih itu biarlah jadi rahsia. Tetapi memang saya merajuklah," ujarnya berseloroh.

Bagi konsert yang julung kali menyaksikan seorang penyanyi rock solo diiringi pemuzik MPO, pemilik nama Norzila Aminuddin ini memaklumkan, sebanyak 16 lagu bakal didendangkan olehnya.

Ia termasuk Pengemis Cinta, Pedih, Nuri, Layar Impian, Sembilu dan Gemilang.

Tiket berharga RM380 hingga RM150 masih dijual dan mereka yang berminat boleh mendapatkannya di kaunter Box Office. Maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari laman web www.mpo.com.my atau hubungi talian 03-23317007.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X