Sabtu, 25 November 2017 | 12:22pm
IKHWAN berundur selepas dua tahun menyumbang khidmat di Kool FM, berkuat kuasa semalam. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Ikhwan tinggalkan Kool FM

KUALA LUMPUR: Penyampai radio Kool FM, Ikhwan atau nama sebenarnya, Mohd Khairul Ikhwan Rosli berundur selepas dua tahun menyumbang khidmat di stesen popular itu, berkuat kuasa semalam.

Pengundurannya bertujuan menumpukan perhatian kepada perancangan peribadinya termasuk ingin kembali berlakon.

Menerusi kenyataan media Pengurusan Rangkaian Radio Media Prima Berhad (RRMP), pengunduran Ikhwan, 34, yang mengendalikan slot Malam Kool bersama Ezaq, berkuat kuasa semalam.

Terdahulu, Ikhwan berkhidmat selama 10 tahun sebagai penyampai radio di Hot FM.

"Pengunduran Ikhwan atas hasratnya yang ingin menumpukan perhatian terhadap kerjaya peribadi terutama dalam bidang muzik dan mengintai peluang kembali ke dunia lakonan yang sudah lama ditinggalkan.

"Ikhwan juga berhasrat meluangkan lebih masa bersama isteri yang sedang sarat mengandung.

"Pengurusan RRMP ingin merakamkan penghargaan kepada Ikhwan sepanjang bersama Kool FM dan Hot FM, malah akan terus menyokong kerjaya dan perancangan masa depannya," menurut kenyataan itu.

Ikhwan berbakat sebagai penyanyi dan penulis lirik, sebelum ini pernah merakamkan single duet, Percaya bersama Didi Astillah, selain bekerjasama dengan beberapa nama seperti Daly Filsuf dan Dynda dalam penghasilan lagu.

227 dibaca
Berita Harian X