Isnin, 27 November 2017 | 2:35pm
NAD Zainal (kiri) dan Sharifah Sakinah.- Foto NSTP

Nad Zainal, Sharifah Sakinah tak bertegur?

KUALA LUMPUR: Tidak pernah terdengar gosip hubungan dua teman artis ini bermasalah, pelakon Nad Zainal mengaku tidak lagi bercakap dengan Sharifah Sakinah.

Nad atau nama sebenarnya, Farah Nadia Zainal Abidin, 27, memberitahu terpaksa berbuat demikian kerana tidak mahu tumpuannya terjejas ketika berada di set.

Rupa-rupanya, Nad 'berpakat' dengan gandingannya, Sakinah untuk tidak bertegur sapa sepanjang menjayakan penggambaran cerekarama Fatonah Azali yang berkisar kisah hidup penghidap autisme.

"Bukan mudah mengubah mood daripada drama genre santai kepada karya yang sarat dengan air mata. Kebetulan, sekali lagi saya digandingkan bersama Sakinah untuk cerekarama ini.

"Sejak awal lagi, saya beritahu Sakinah yang saya tidak mahu bercakap dengannya sepanjang penggambaran cerekarama Fatonah Azali.

"Kami memberi komitmen penuh dan menghormati karakter masing-masing. Kalau nak bergurau, kami beralih ke set Girlfriend Aku Dari Neraka," katanya kepada BH Online.

Cerekarama Fatonah Azali yang memaparkan kisah penghidap autisme lakonan Nad, bakal ditayangkan di TV3, Sabtu ini sempena Maulidur Rasul. Selain Nad, cerekarama itu turut menampilkan Sakinah, Redza Rosli dan Raja Azura.

Nad dan Sakinah turut berganding dalam drama rantaian Girlfriend Aku Dari Neraka.

Mengulas mengenai wataknya sebagai Nelly dalam drama rantaian Girlfriend Aku Dari Neraka, Nad tidak menyangka karakter itu mengundang pujian ramai.

"Tidak sangka dalam banyak karakter berat membabitkan emosi yang dilakonkan, watak bimbo dalam drama Girlfriend Aku Dari Neraka yang meninggalkan impak mendalam.

"Namun, kalau boleh saya tidak mahu membawakan watak begitu lagi kerana karakter Nelly ada keunikannya tersendiri.

"Jika ada tawaran begitu, biarlah berbeza di mana karakter itu saya olah secara spontan hasil perbincangan bersama hero, Aiman Hakim Ridza dan Sakinah," katanya.

Berita Harian X