Jumaat, 8 Disember 2017 | 4:31pm
PELAKON, Siti Saleha bersama suami, Ahmad Lutfi Azhar. - Foto: Khairul Azhar Ahmad

Siti Saleha temui kebahagiaan sebenar

KUALA LUMPUR: Lebih empat bulan mendirikan rumah tangga dengan pegawai kerajaan, aktres, Siti Saleha, mengaku beliau kini diulit kebahagiaan sebenar.

Bersama kehidupan yang bertambah manis dan ceria, pelakon ini turut memberitahu, pergaulannya juga berubah apabila kerap menemani suami, Ahmad Lutfi Azhar, 31, menghadiri majlis besar, termasuk anjuran sektor korporat.

Kata Saleha, 27, yang mula mencipta populariti menerusi drama Nora Elena ini, beliau bersyukur apabila hidupnya sekarang penuh dengan kasih sayang.

"Tuntutan kerja bagaimanapun memerlukan dia terbang ke sana ke mari. Namun, ia bukanlah halangan untuk kami terus menyemarakkan kebahagiaan rumah tangga," katanya.

Saleha berkata, selepas menjadi pasangan suami isteri, masing-masing tahu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

"Kesetiaan dan kepercayaan pula menjadi nadi penting dalam menjayakan kehidupan bersama. Malah, sebelum berkahwin, dua perkara itu sudah kuat tertanam dalam diri," katanya yang sah menjadi isteri Lutfi pada 28 Julai lalu.

Ditanya mengenai perkembangan seni, Saleha berkata, kesibukan menguruskan perkahwinan menyebabkan dirinya tidak memenuhi tawaran berlakon.

"Selama ini, saya sibuk di lokasi penggambaran. Tapi sekarang, terbalik pula. Tidak terikat dengan kerja seni, sebaliknya sibuk dengan kerja amal.

"Selepas berkahwin, memang kerjaya seni bergerak sedikit perlahan. Namun, semua itu ada hikmahnya kerana saya dapat meluangkan masa bersama suami," katanya yang turut menggunakan waktu terluang itu bagi mempertingkatkan lagi kemahiran memasak.

Saleha bagaimanapun memberitahu, dirinya sempat berlakon drama mini, Mandatori, untuk siaran sebuah saluran berbayar sebelum mendirikan rumah tangga.

"Insya-Allah, saya akan kembali menghangatkan pentas lakonan pada tahun depan," katanya.

1189 dibaca
Berita Harian X