Khamis, 21 Disember 2017 | 10:57pm
ZIZAN selalu ingatkan agar tidak lupa diri, tidak angkuh atau menyombong dan sentiasa tunduk. - Foto Syarafiq Abd Samad
ZIZAN di lokasi penggambaran filem Polis Evo. - Foto ihsan Instagram Zizan

Zizan mahu dikenang seperti P Ramlee

KEMUNCULAN bintang ini di layar lebar kian menyerlah hingga ramai terlupa karektor komedi yang sinonim dengan dirinya sejak mula bertapak dalam industri.

Satu persatu strategi diatur bagi menempatkan dirinya dalam dunia filem biarpun masih ada segelintir penonton yang mempertikai keupayaan bakat lakonan Zizan Razak.

Hasilnya, hampir semua filem dibintanginya mencapai kutipan pecah panggung. Malah, sepanjang 2017, banyak pencapaian peribadi dilakar pelakon, pelawak dan pengacara berusia 34 tahun ini.

Menyedari bidang komedi yang membawanya terjun dalam dunia seni sudah ditinggal jauh, Zizan mengaku fokusnya untuk tahun baharu lebih tertumpu kepada filem.

"Tahun depan saya akan fokus kepada filem. Saya lihat ini sajalah medium paling baik untuk saya beri tumpuan. Hasil dan pencapaian dalam filem membuatkan saya sangat berpuas hati.

"Bukan nak kejar rekod filem kutipan tertinggi, tetapi saya nak pegang satu perkara atau produk yang orang akan ingat, sama seperti Allahyarham Tan Sri P Ramlee," katanya kepada BH Plus.

Pencapaian yang diperoleh pelakon legenda yang juga pengarah tersohor Asia itu lebih 60 filem yang dibintangi dan diarahkannya, menyuntik semangat Zizan untuk terus mengembangkan bakat seni lakonannya dalam filem.


ZIZAN mahukan produk yang orang akan ingat, sama seperti Allahyarham Tan Sri P Ramlee. - Foto Aziah Azmee

Melihat sambutan penonton terhadap 23 filem lakonannya hingga ada yang menyentuh sanubari, memberi kekuatan kepada dirinya untuk terus mencari naskhah sesuai dan diterima ramai.

Namun, dalam memberi tumpuan kepada filem, bulat tekad jejaka berasal dari Terengganu ini untuk terus kekal dalam dunia komedi. Ini kerana di situlah rezekinya bermula. Namun, 'lambakan' pelawak membuatkan Zizan mengurangkan pembabitannya dalam projek komedi.

"Alhamdulillah, lakonan saya 'memberi' kepada penonton sehingga ada yang memanggil saya dengan nama watak. Inilah apa yang sama mahu... Saya mahu mereka menjadikan saya sebagai idola," katanya.

Enggan cetus kontroversi lagi

Bukan mudah untuk berada pada kedudukan sekarang, apatah lagi mengekalkannya. Namun, strategi untuk terus bertahan mendorongnya memberi hasil kerja bermutu.

Mula diintai produksi dari seberang, Zizan yang ditemui pada majlis Anugerah Instafamous 2017 yang mengangkat dirinya sebagai Idola #Mudah Terhibur di ibu negara, baru-baru ini, mengaku menerima dua tawaran filem Indonesia.

Tambah Zizan, sejak mula berlakon, dia tidak pernah mensasarkan memenangi trofi atau anugerah.


ZIZAN Razak menang kategori Idola Mudah Terhibur pada Anugerah Instafamous 2017. - Foto Mahzir Mat Isa

"Apabila berada pada tahap ini, saya nasihatkan diri usah lupa diri, tidak angkuh atau menyombong dan sentiasa tunduk agar orang hargai kita.

"Merendah diri lebih bagus daripada menjadi orang yang tak menang apa-apa, namun angkuh. Pada saya, lebih baik fokus pada kerja dan kualiti kerja sebelum terima anugerah. Kalau kerja tidak berkualiti, ibarat tin kosong," katanya.

Kesibukan membuatkan Zizan terpaksa melupakan seketika bidang perniagaan. Mahu menggapai impian sebagai pelakon versatil dan dikenali ramai, pembabitannya dalam dunia perfileman dianggap pencapaian membanggakannya sepanjang 2017.

"Abang Long Fadil 3 akan menjalani penggambaran selepas Aidilfitri, tahun depan. Sekarang saya masih dalam set penggambaran Polis Evo 2 yang hampir selesai pembikinan," katanya.

Kontroversi dan dirinya tidak pernah lari. Ini membuatkan Zizan menjadi antara artis yang sering dilanda gosip. Menyedari hakikat itu, Zizan mengaku sebagai artis, lumrah dikaitkan dengan gosip. Namun, dia mahu lebih memfokuskan kepada kerjaya daripada mencipta kontroversi.

"Sebagai artis, bagi saya, jangan cari pasal untuk mendapatkan kontroversi. Kadang-kadang ada orang cakap tak bercinta tetapi keluar berdua, tetapi, muat naik di laman sosial makan bersama.

"Jadi, benda macam ini yang menimbulkan spekulasi. Lebih baik buat kerja an fokus kepada kerjaya. Kalau nak bercinta, sorok-sorok jangan letak di laman sosial supaya tak timbul kontroversi," katanya.


FOKUS Zizan untuk tahun baharu lebih tertumpu kepada filem. - Foto Rosela Ismail

Info

  • Bekas naib juara program Raja Lawak musim pertama ini mula menarik perhatian dalam bidang seni apabila bergandingan dengan Johan menerusi Jozan.
  • Membintangi lebih 15 telefilem, Zizan muncul dalam 23 filem antaranya Cicakman 3, Rembat, KL Zombi dan Hantu Kapcai.
  • Mengendalikan 13 program TV seperti Melodi, Bolos, Raja Lawak dan Akademi Fantasi 2013 hingga 2015.
  • Pernah meraih anugerah Artis Komedi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0, Mei lalu dan pada edisi 2012.
  • Menerima trofi Pengacara TV Lelaki Popular ABPBH 2011.
Berita Harian X