Jumaat, 22 Disember 2017 | 9:08am
ANDI Bernadee. - Foto Rohanis Shukri

Andi Bernadee tarik perhatian TV Indonesia

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Andi Bernadee, yang viral selepas mendendangkan lagu Tak Tun Tuang nyanyian asal Upiak Isil, terkejut apabila klip videonya disiarkan di sebuah saluran televisyen (TV) di Indonesia.

Andi memberitahu, perkara itu dimaklumkan peminat yang kebetulan menonton tayangan video itu ketika sedang bercuti di Yogjakarta, Indonesia, baru-baru ini.

"Peminat memaklumkan perkara itu melalui mesej langsung (DM) di Instagram.

"Saya sama sekali tidak menyangka, namun gembira dengan perkembangan ini. Mana tahu, suatu hari nanti, saya diundang ke Indonesia untuk melebarkan sayap seni," katanya kepada BH Online.

Klip video lagu saduran itu dirakamkan di Arteffects Studio di Damansara, Petaling Jaya pada 16 November lalu.

Ketika ini, video muzik terbabit sudah mencecah lebih sejuta tontonan di YouTube.

Sebelum ini, jejaka kacak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu menyertai program mempromosikan pakej percutian mesra muslim bersama Hafiz Hamidun dan Bella Nazari di Taipei, Taiwan.

Andi atau nama penuhnya, Andi Azrul Andi Mapangile berkata, video muzik itu dirakamkan dalam tempoh empat jam saja.

"Alang-alang rakam semula lagu Tak Tun Tuang, baiklah divideokan sekali," katanya.

Sebaik dimuat naik di YouTub,e netizen melayangkan komen antaranya memuji suara Andi selain terpikat dengan wajahnya yang kacak.

Tidak kurang juga yang suka melihat gaya spontan Andi meletakkan tuala di bahu ketika menyanyikan lagu itu.

"Setiap komen baik atau buruk, saya terima dan menjadi panduan untuk memperbaiki diri," katanya.

71 dibaca
Berita Harian X