Selasa, 2 Januari 2018 | 9:05am
Personaliti radio berpengalaman, Andy Hakim memperkukuhkan lagi barisan hadapan penyampainya, Kool FM.

Andy Hakim perkuat program petang Kool FM

KUALA LUMPUR: Bagi memperkukuhkan lagi barisan hadapan penyampainya, Kool FM, menerima kehadiran personaliti radio berpengalaman, Andy Hakim, ke dalam keluarga stesen milik Media Prima berkenaan.

Andy atau nama sebenarnya Muhammad Ishak Ibrahim akan bergandingan dengan Liza dalam program Petang Kool dan bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat, dari jam 3 petang hingga 7 malam.

Sebelum ini, Andy mengendalikan segmen Mega Hindi Kool FM pada setiap Sabtu, dari jam 10 malam hingga 12 tengah malam.

Muaz atau Muazanazzudin Mohamed pula akan menerajui segmen Pagi Hari di Kool FM (PHD Kool) bersama AG dan Haiza, setiap Isnin hingga Jumaat, dari jam 6 hingga 10 pagi.

Pengurus Program Kool FM, Nik Nor Azura Nik Mahmood, berharap barisan baharu ini dapat memperkukuhkan lagi empayar stesen radio berkenaan, sekali gus meletakkannya ke tahap lebih tinggi pada masa hadapan dalam industri penyiaran di Malaysia

"Penambahan Andy dan pertukaran Muaz ke segmen pagi adalah antara strategi untuk memastikan Kool FM sentiasa menjadi pilihan utama pendengar.

"Ia juga selaras dengan misi kami untuk terus tampil dengan pembaharuan dan perubahan, serta memberi fokus utama yang meliputi muzik dan hiburan, sejajar dengan sasaran pendengar di Kool FM," katanya.

Muaz, yang menyertai Kool FM pada Februari tahun lalu, sebelum ini mengemudi segmen Petang Kool bersama Liza.

Selain itu, Kool FM yang dilancarkan pada 1 Mac 2016 turut membariskan Rea dan Ezaq sebagai penyampainya.

Rea mengemudi program Muzik Kool Tanpa Henti dari jam 10 pagi hingga 3 petang, manakala Ezaq pula menemani pendengar dari jam 8 malam hingga 12 tengah malam bersama segmen Malam Kool.

58 dibaca
Berita Harian X