Rabu, 3 Januari 2018 | 10:40am
Rozita Che Wan (kiri) dan Erma Fatima bakal bergabung dalam sebuah drama. - Foto Luqman Hakim Zubir/Nurul Shafina JemenonLUQMAN HAKIM ZUBIR

Kak Marr, Mak Cun bakal bergabung

KUALA LUMPUR: Bagi peminat Kak Marr dan Mak Cun, masing-masing tentunya tidak dapat membayangkan jika dua watak popular berkenaan bergabung dalam sebuah drama.

Ia pastinya penuh kekecohan jika karakter lakonan aktres jelita, Rozita Che Wan atau Che Ta, dan pelakon yang juga pengarah berkaliber, Erma Fatima, itu disatukan dalam sebuah cerita.

Bagaimanapun, perkara itu juga bukan sesuatu yang mustahil, malah impian peminat dua watak popular itu untuk melihat mereka bergabung bakal menjadi nyata apabila drama Kak Marr VS Mak Cun dijadualkan menjalani penggambaran pada Februari depan.

Ia juga projek yang tidak berdepan banyak halangan kerana kedua-dua drama kegemaran ramai itu disiarkan menerusi saluran televisyen sama, TV3.

Mengesahkan perkara itu kepada BH Online, Che Ta berkata, beliau sendiri tidak dapat membayangkan kegamatan bakal tercetus apabila dia watak berkenaan bersatu.

"Namun, sudah tentu ia perkembangan yang menarik sekali kerana karakter Kak Marr dan Mak Cun mempunyai kelompok peminat sendiri. Masing-masing terkenal dengan lawak mereka yang berbeza.

"Jadi, usaha yang dizahirkan Erma menerusi rumah produksinya sudah tentu saya sambut dengan tangan terbuka," katanya yang baru saja selesai menjalani penggambaran program Cuit Cuit Che Ta sebanyak 26 episod untuk siaran RTM.

Selain Kak Marr VS Mak Cun, Che Ta juga dijangka menjalani penggambaran drama musim baharu Kiah Pekasam. Tidak ketinggalan program Teh Tarik Che Ta musim keempat yang juga akan memulakan penggambaran tahun ini.

Sementara itu, memasuki ke tahun baharu, Che Ta turut mengharapkan sinar terbaik buat diri, kerjaya, perniagaan dan rumah tangganya.

"Insya-Allah saya bersama suami dan anak serta ahli keluarga lain akan mengerjakan umrah bermula 22 Januari ini hingga 2 Februari depan.

"Selepas 10 kali mengerjakan umrah dengan menggunakan wang sendiri, pemergian ke Makkah dan Madinah kali ini ditaja.

"Pihak Imtiyaz Travel & Tours bermurah hati menghulurkan tajaan, sekali gus membuka pakej umrah dikenali sebagai Rombongan bersama Che Ta itu kepada peminat dan orang awam," katanya yang sudah menggunakan khidmat syarikat pelancongan berkenaan sejak beberapa tahun lalu.

38 dibaca
Berita Harian X