Sabtu, 6 Januari 2018 | 10:01pm
FASHA Sandha.- Foto Nur Adibah Ahmad Izam
SITKOM Mamu Mami Gosip dibintangi oleh pelakon Taukeh, Azalna dan Kaza. - Foto Rosela Ismail

Boleh migrain kalau jadi produser - Fasha Sandha

KUALA LUMPUR: Pelakon popular, Fasha Sandha mengakui, tidak pernah terfikir untuk menjadi produser kerana tanggungjawab itu menuntut komitmen besar selain terpaksa berdepan pelbagai kerenah yang memeningkan kepala.

Fasha, 34, berkata, mendengar cerita beberapa teman yang terlebih dulu menggalas peranan itu membuatkan hatinya berbelah bahagi kerana tidak mahu fikirannya dibebani pelbagai masalah tidak diundang.

"Pernah dulu, saya bercakap kepada diri tidak akan menjadi produser. Banyak perkara perlu difikirkan kerana tidak mudah memastikan sesebuah produksi berjalan lancar. Entah bagaimana, tiba-tiba hati saya terbuka untuk mencuba sesuatu yang baharu dalam hidup.

"Hari pertama dan kedua menjadi produser, saya sudah diserang migrain. Dugaan itu bagaimanapun, tidak membuatkan saya mengalah. Saya perlu buktikan mampu mengendalikan setiap aspek penerbitan menerusi projek pertama, sitkom Mamu Mami Gosip," katanya.

Selain Fasha, sitkom 50 episod arahan Aizam Syamsul yang menjalani penggambaran selama 20 hari itu turut diterajui Kazar Saisi, Dalimawati, Tauke Jambu, Elisya Sandha, Afifah Nasir, Fikhree Bakar dan Amyza Aznan.

Mamu Mami Gosip juga menampilkan artis jemputan seperti Saharul Ridzwan, Fauziah Nawi, Anzalna, Hazama, Zahirah MacWilson, Achey, Ruhainies, Abam Bocey, Jasmin Hamid, Farahdhiya dan Aidil Aziz.

Fasha berkata, sitkom yang menelan belanja lebih RM1 juta ini sedang melalui proses perbincangan dengan beberapa saluran televisyen (TV) untuk ditayangkan.

"Sudah ada tiga stesen TV yang berminat menyiarkan sitkom ini, tetapi saya perlu mempertimbangkan tawaran terbaik. Kata putus akan diberikan tidak lama lagi. Ketika ini, saya mahu memberikan dulu fokus kepada penggambaran yang masih berbaki lagi tiga hari," katanya.

Berita Harian X