Rabu, 7 Februari 2018 | 5:00pm
SABRINA (duduk hadapan) melayan peminat pada sesi promosi filem Makrifat Cinta di Kuantan, hari ini.- Foto Nurul Nadira Shaari
SHIHA Zikir.- Foto NSTP

Berlatih lima jam terus rakam

KUANTAN: Dalam mengatur langkah seni pada tahun baharu, tiada yang lebih bermakna buat penyanyi Shiha Zikir apabila diberi peluang merakamkan lagu runut bunyi (OST) filem Makrifat Cinta arahan Kamal G.

Shiha yang terkenal dengan lagu Jagakan Dia memberitahu, lagu berjudul sama ciptaan komposer dari India, Naren Balakumar dengan lirik dihasilkan Dr Rizal dirakamkan dalam tempoh sehari.

"Ini pengalaman baharu apabila dipilih menyanyikan lagu itu. Sudah tentu, sebagai penyanyi, ia suatu penghargaan apabila diberi peluang bekerjasama dengan komposer dari luar negara," katanya pada majlis mempromosikan filem Makrifat Cinta di sini, hari ini.

Bercerita mengenai single berkenaan, Shiha memberitahu, dia hanya berlatih lima jam sebelum merakamkannya.

"Saya mendapat lagu ini dalam masa yang singkat. Saya hanya berlatih lima jam sebelum sesi rakaman... Itu adalah cabaran bagi saya.

"Sesi rakaman lancar kerana semua kru memberi kerjasama sangat baik," katanya.

Shiha menambah, dia memikul tanggungjawab besar apabila menjadi penyanyi OST bagi filem berskala besar itu.

Menurutnya, setiap bait lirik lagu itu mempunyai pengertian mendalam yang dikaitkan dengan jalan cerita filem berkenaan.

"Saya berharap lagu ini dapat menarik minat masyarakat untuk menonton filem penuh motivasi itu yang sudah disiarkan di pawagam seluruh negara sejak 1 Februari lalu," katanya yang bakal menyanyikan single terbaharu berkonsep Melayu Dangdut di Indonesia, tidak lama lagi.

Sementara itu, aktres Sabrina Ali yang melakonkan watak guru dalam filem Makrifat Cinta mengaku berdepan cabaran menghayati karakter berkenaan.

Pelakon yang popular dengan watak kasar atau antagonis itu memberitahu, kali ini dia menghidupkan watak wanita lembut.

"Watak saya memang mencabar kerana berbeza dengan personaliti diri. Namun, itu adalah tanggungjawab yang perlu saya lakukan sebagai pelakon bagi memberi impak kepada filem ini.

"Ini pertama kali saya melakonkan watak baik biarpun agak kelok tetapi menyeronokkan. Saya cabar diri untuk terus mencuba dalam pelbagai watak berbeza," katanya.

Berita Harian X