Rabu, 7 Februari 2018 | 11:07pm
PENYANYI, Amira Othman pada pelancaran album barunya. - Foto Nurul Shafina Jemenon
PENYANYI, Amira Othman pada pelancaran album barunya. - Foto Nurul Shafina Jemenon
PENYANYI, Amira Othman menafikan keluarga mengongkong kerjayanya. Foto Nurul Shafina Jemenon
PENYANYI, Amira Othman menafikan keluarga mengongkong kerjayanya. Foto Nurul Shafina Jemenon
PENYANYI, Amira Othman muncul dengan single terbaru berjudul Mimpi Indah. - Foto Nurul Shafina Jemenon
PENYANYI, Amira Othman muncul dengan single terbaru berjudul Mimpi Indah. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Amira Othman nafi keluarga kongkong kerjaya

MELIHAT sifat prihatin yang dipaparkan keluarga Amira Othman, membuatkan ada yang beranggapan penyanyi dan pelakon itu terlalu dikongkong oleh si bapa, terutama dalam membuat keputusan berkaitan kerjaya seninya.

Amira begitupun tampil menjelaskan, sifat kekeluargaan sememangnya sudah lama diterap dalam diri adik-beradiknya agar masing-masing sentiasa bersatu dalam melakukan apa saja.

Namun, ia tidaklah sampai sehingga dirinya mahupun adik-beradiknya dikongkong, seperti yang diperkatakan segelintir pihak.

"Mana ada kami dikongkong? Sebaliknya, mak dan ayah saya sangat terbuka dalam semua perkara. Kami juga boleh berkongsi apa saja dengan mereka, begitu juga dalam kalangan adik-beradik.

"Muka ayah nampak saja garang, tetapi dia sangat penyayang. Orang kata, tidak kenal maka tak cinta.

"Kalau ada yang mendakwa segala keputusan berhubung kerja seni saya diputuskan oleh dirinya, saya menafikannya sama sekali. Kami, sebaliknya berbincang sehingga mendapat kata sepakat," katanya.

Pantau isu elak kontroversi

Meskipun begitu, pelakon drama Abang Bomba I Love You ini berkata, bapanya akan bersikap tegas mengikut situasi tertentu, sebagai contoh, berkaitan pergaulan dan imej pakaian.

Dalam pada itu, ibu dan bapanya juga turut memantau setiap isu yang timbul berkaitan dengan dirinya sebagai langkah untuk mengelakkan tercetus kontroversi.

Sementara itu, bercerita mengenai perkembangan terkini dirinya, Amira akhirnya muncul dengan single terbaru berjudul Mimpi Indah.

Lagu ciptaan Hael Husaini dan diterbitkan oleh Edry Abdul Halim itu, katanya, mempunyai keistimewaan tersendiri berbanding dua single terdahulu, Hati-Hati dan Jaga-Jaga.

"Genrenya bagaimanapun tetap lebih kurang sama kerana kami mahu mengekalkan konsep Hati-Hati dan Jaga-Jaga.

"Namun, kami memperlahan sedikit tempoh Mimpi Indah, ala-ala lagu dodoi, dan atas sebab itu jugalah saya memilih judul Mimpi Indah," ujar Amira.

Rindu kekasih apabila tidak bersama

Dalam pada itu, kata Amira, 24, lagu baharunya mempunyai kekuatan dari segi lirik dan sesuai untuk individu yang sedang melalui alam percintaan.

Katanya, ia juga dapat menggambarkan perasaan seseorang yang merindui kekasihnya sewaktu si dia tiada di sisi.

Bekas peserta Akademi Fantasia 2013 turut mengakui teruja untuk melihat reaksi peminat terhadap single berkenaan.

Ujarnya, peminat pasti meletakkan harapan tinggi terhadap lagu terbabit, apatah lagi dua singlenya sebelum ini mendapat perhatian ramai.

"Saya seorang yang cerewet dalam memilih melodi dan perkara itu membuatkan saya mengambil masa lama untuk mencari lagu sesuai.

"Pada saya, sesebuah lagu yang bagus dapat menaikkan nama seseorang penyanyi. Saya pula memang mementingkan kualiti berbanding kuantiti," katanya.

Puisi peminat dalam video

Menerusi video muzik Mimpi Indah, Amira turut menyelitkan puisi daripada peminat.

Jelasnya, dia berbuat demikian bagi memberi peluang kepada peminat untuk turut sama terbabit dalam pembikinan video itu.

"Saya dapat banyak kiriman puisi cinta daripada peminat. Tidak sangka ramai yang kreatif dan mempunyai pengalaman dalam percintaan jarak jauh.

"Dalam banyak-banyak puisi itu pula, saya pilih nukilan daripada 'Farddmottidin' yang saya rasa paling bersesuaian dengan lagu ini," ujarnya.

Video berkenaan yang dirakam selama sehari bersama produksi The Malaya turut menampilkan pelakon kacak, Idris Khan, yang dianggapnya cukup bersesuaian dengan jalan cerita diketengahkan.

Dibandingkan dengan Nabila

Diusik dengan persoalan mengenai segelintir pihak yang membandingkan popularitinya dengan penyanyi lagu viral, Pematah Hati, Nabila Razali, dia bersikap terbuka dalam hal itu.

Kata Amira, sebagai rakan seperjuangan, dia turut berbangga dengan kejayaan Nabila dan menyifatkan ia sebagai satu rezeki buat gadis terbabit.

"Saya tidak mempunyai masalah jika ada orang membandingkan saya dengan Nabila. Bagi saya, dia memang layak kerana usahanya sebelum ini yang tidak pernah putus asa.

"Tambah pula, ia rezeki masing-masing dan dia juga kawan baik saya. Asalkan kami terus berkarya dan menyokong antara satu sama lain, tiada apa perlu dirisaukan," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X