Sabtu, 24 Februari 2018 | 10:15am
Nonny dan Mustain bakal disatukan di Sabah pada 18 Mac depan. - Foto ihsan Nonny Nadirah

Nonny nikah penolong penerbit bulan depan

KUALA LUMPUR: Bekas peserta musim kelima Akademi Fantasia (AF), Nonny Nadirah akan melangsungkan pernikahan dengan penolong penerbit di Media Prima Berhad (MBP), Mustain Adnan di Sabah pada 18 Mac depan.

Nonny, 29, menyifatkan jodohnya dengan Mustain, 36, kuat selepas sembilan tahun bercinta.

"Kami tidak akan bertunang... Terus nikah saja. Kita rancang majlis nikah pada sebelah pagi dan pada malamnya acara resepsi.

"Majlis di resepsi di Kuala Lumpur juga belum dapat dipastikan kerana masing-masing sibuk," katanya kepada BH Online.

Nonny berkata, buat masa ini, persiapan perkahwinannya hampir selesai.

"Antara 70 hingga 80 peratus persiapan sudah disempurnakan... Saya akan pulang ke Sabah, awal bulan depan membawa peralatan dan perkakasan majlis," katanya.

Nonny yang ditawarkan membintangi drama Melankolia berganding dengan AlIff Aziz memberitahu, dia mengenali Mustain sejak 2009.

"Sri Pentas di Bandar Utama, Petaling Jaya menjadi saksi saya mula jatuh hati dengannya. Hendak dijadikan cerita, kawan kami saling mengenali antara satu sama lain.

"Saya masih ingat tarikh 1 Disember 2009 di mana kami berikrar membawa hubungan ke peringkat lebih serius. Sepanjang berkawan, hubungan kami, biasalah... Ada turun naik," katanya.

Nonny berkata, Mustain membuat kejutan dengan melamar dirinya di set penggambaran drama Melankolia pada 25 Januari lalu.

Berita Harian X