Selasa, 27 Februari 2018 | 1:32pm
BEKAS vokalis Kristal, Lan Solo. - Foto Aswadi Alias

Lagu tiada kaitan dengan Kristal - Lan Solo

KUALA LUMPUR: menafikan judul single pertamanya, Berpisah Tanpa Rela yang dirakam selepas bergerak sendirian ada kaitan dengan kumpulan itu.

Lan menjelaskan, lagu itu menceritakan dugaan dalam percintaan sepasang kekasih, bukannya membongkar cerita di sebalik perpisahannya dengan Kristal.

"Lagu ini saya cipta selepas musim keempat Gegarvaganza (GV4) berakhir. Ia bersandarkan pemerhatian dan pengalaman insan sekeliling. Ini adalah kisah cinta biasa yang penuh ranjau dan cabaran.

"Judul yang dipilih paling tepat untuk menggambarkan situasi yang dialami pasangan itu. Saya tidak sangka orang akan mengaitkannya dengan diri saya dan Kristal, sedangkan ia tiada kena-mengena.

"Bagi saya, segala-galanya sudah berlalu dan masing-masing sudah 'move on' (teruskan hidup). Namun, saya tak salahkan sesiapa apabila lagu ini dijadikan 'bahan'... Saya harap lagu ini diterima ramai," katanya kepada BH Online.

Ketika ini, Lan atau nama sebenarnya, Mohd Razlan Mohamed Yusof, 32, yang berundur daripada Kristal ketika bersaing pada minggu kelima GV4, sibuk di lokasi penggambaran sebuah drama rantaian.

Lan memberitahu, tawaran berlakon drama terbabit datang tepat pada masanya.

Bagi Lan, dunia lakonan membuatkan dirinya lebih berdisiplin dan yakin, selain menimba pengalaman baharu.

"Saya hanya muncul dalam beberapa episod. Kebetulan jadual saya tidak padat dan memang jenis tidak boleh duduk diam. Lagi pun, ini bukan kali pertama saya berlakon.

"Saya teruja belajar dengan mereka yang arif terutama petugas belakang tabir. Sambil menyelam, kita minum air," katanya yang menimang cahaya mata keempat, Nur Amna Quxandra, minggu lalu.

41 dibaca
Berita Harian X