Jumaat, 2 March 2018 | 2:51pm
PELAKON, Liza Abdullah. - Foto: Halimaton Saadiah Sulaiman

Ingatkan saya sudah nak buta - Liza Abdullah

KUALA LUMPUR: Pelakon, Liza Abdullah, 53, menyangka dirinya takkan dapat melihat lagi gara-gara berdepan masalah kornea selepas mata kanannya membengkak sehingga tidak boleh dibuka.

Dimasukkan ke wad Hospital Sungai Buloh pada 27 Februari lalu, Liza berkata, beliau amat bimbang apabila mendengar sekumpulan doktor pakar berbincang mencari jalan penyelesaian untuk merawat matanya.

Saat itu, menurutnya, beliau hanya reda dengan segala ketentuan Tuhan.

"Hanya Allah yang tahu perasaan saya ketika itu. Luruh jantung dibuatnya apabila mendengar mereka (doktor) berbincang mengenai keadaan mata saya yang terjejas.

"Kata mereka, kornea kanan semakin menipis dan ada nanah pada bahagian tepi mata saya. Doktor bimbang andai tidak dirawat segera, ia akan mengalami kerosakan teruk.

"Alhamdulillah, sebelum kornea mata bocor, doktor sudah pun menampal bahagian itu," katanya kepada BH Online.

Liza, yang sudah dibenarkan pulang, kelmarin, kini perlu menjalani rawatan dari semasa ke semasa.

Pelakon filem Driving School itu berkata, selepas menjalani rawatan, doktor meminta dirinya supaya bersedia berdepan situasi mata kanannya mungkin tidak dapat melihat dengan jelas berikutan bengkak dialami akan meninggalkan kesan.

Liza begitupun tetap bersyukur kerana masih diberikan peluang untuk melihat, apatah lagi mata juga antara aset utamanya dalam usaha mencari rezeki di bidang seni.

Dalam pada itu Liza berkata, insiden terbabit benar-benar memberi pengajaran buatnya supaya sentiasa peka apabila berasakan ada sesuatu tidak kena pada mata.

"Sebenarnya, sudah lama saya mengalami sakit mata, tetapi mengambil mudah soal terbabit. Saya fikir, cukuplah sekadar meletakkan ubat mata yang dijual di farmasi. Tetapi, apa yang saya buat itu salah.

"Sepatutnya saya perlu terus berjumpa dengan pakar. Sepanjang hayat, pengalaman sakit mata ini benar-benar membuatkan saya takut. Semua ini berpunca daripada penggunaan kanta lekap terlalu lama.

"Kebersihan mata memang perlu dijaga. Kita tidak boleh menggosok mata sebarangan kerana ia akan memberikan iritasi pada bahagian berkenaan," tuturnya.

Berita Harian X