Isnin, 19 March 2018 | 5:32pm
YANA dan suami bersama anak mereka, Aisy Mateen. - Foto Instagram Yana dan Aisy Mateen

Aisy mahu teman bermain - Yana Samsudin

SHAH ALAM: Pelakon, Yana Samsudin, berusaha mendapatkan cahaya mata kedua bagi membolehkan anak lelaki, Aisy Mateen, 2, mempunyai teman bermain.

Yana yang juga seorang pengacara berkata, beliau dan suami, Fadzil Zahari, 34, turut menjalani rawatan bagi membolehkan mereka menambah anggota keluarga.

"Bagaimanapun, saya dan suami bukanlah membuat perancangan keluarga. Cuma, sejak tahun lalu kami sudah berusaha, walaupun belum lagi berhasil.

"Kami kasihan melihat si Aisy yang memerlukan teman di rumah. Setiap kali berjumpa dengan kanak-kanak lain, dia akan panggil abang dan kakak.

"Saya ada mencuba rawatan kesuburan IUI (Intrauterine Insemination), tetapi belum ada rezeki. Mudah-mudahan orang ramai akan turut mendoakan buat kami," katanya ketika ditemui selepas menjayakan siaran langsung program jualan barangan menerusi televisyen, The Wow Show, di sini hari ini.

Yana, 33, berkata pada masa sama kesibukan dengan kerja pengacaraan dan urusan syarikat mereka, Prokoya, turut membataskan keinginannya memiliki anak, selain tumpuan yang perlu diberikan kepada usaha membesarkan Aisy.


PENGACARA program The Wow Show, Yana Samsudin. - Foto: Roslin Mat Tahir

"Saya tidak mempunyai pembantu rumah. Jadi, kalau ke mana-mana pun, termasuk lokasi penggambaran, saya kena bawa Aisy bersama jika Fadzil sibuk di pejabat. Saya juga uruskan sendiri rumah tangga termasuk memasak, mengemas dan menjaga anak kami.

"Bukan kami tidak percayakan pembantu, tetapi saya lebih selesa menguruskan semua itu sendiri. Lagipun, dalam seminggu, cuma empat hari saya sibuk sebagai pengacara Wow Show dan program Bismillah Ad Dhuha. Tiga hari selebihnya bolehlah diluangkan untuk keluarga dan syarikat," katanya.

Kata Yana lagi, walaupun selesa bergelar pengacara, beliau tidak pernah melupakan terus bidang lakonan. Selain itu, beliau juga kerap diundang sebagai perantara program pengurusan kewangan.

Berita Harian X