Selasa, 20 March 2018 | 3:51pm
FEEYA Iskandar. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Cik Piah tak kejar populariti

KUALA LUMPUR: Mula bertugas di konti stesen radio, Suria FM, semalam, Feeya Iskandar menyifatkan tanggungjawab yang baru digalas itu rezeki dua anaknya.

Pernah menimba pengalaman di tiga stesen radio, Feeya atau lebih mesra disapa Cik Piah berkata, faktor jadual kerja singkat mendorong dia menerima tawaran Suria FM.

"Saya perlu ke udara mulai jam 10 pagi hingga 1 tengah hari. Saya ada dua anak yang masih kecil.

"Jika dulu saya bertugas dari jam 3 petang hingga 7 malam, masa untuk bersama anak terhad. Pulang ke rumah, anak sudah mahu tidur.

"Bersama Suria FM saya boleh luangkan lebih masa dengan anak-anak kerana habis kerja jam 3 petang," katanya.

Sebelum ini, Feeya, 29, pernah menjadi penyampai di stesen radio Era FM, X FM dan Sinar FM.

Feeya menafikan dia menerima tawaran gaji lumayan daripada pengurusan Suria FM.

"Apa yang dapat saya katakan, tawaran yang diberi... Alhamdulillah. Ini adalah rezeki anak-anak saya.

"Keputusan berhijrah ke stesen Suria FM bukan kerana duit tetapi mahukan cabaran dan keluar dari zon selesa," katanya.

Feeya berkata, dia juga bukan mahu mengejar populariti.

"Ada yang bertanya, kenapa saya meninggalkan stesen radio popular ke stesen yang sedang meningkat naik.

"Saya bukan kejar populariti, sebaliknya saya inginkan cabaran," katanya yang menamatkan kontrak dengan Sinar FM pada 19 Februari lalu.

233 dibaca
Berita Harian X