Rabu, 28 March 2018 | 4:19pm
KUGIRAN Masdo membuat persembahan di konsert Festival GegaRia 2018 di Dataran Amanjaya, Meru, 24 Mac. - Foto Abdullah Yusof

'Jom tengok Kugiran Masdo, Sabtu ini'

KUALA LUMPUR: Kumpulan empat jejaka yang menggelarkan diri mereka, Kugiran Masdo boleh dianggap sinonim dengan festival gaya hidup, GegaRia yang akan menggegarkan Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE di sini, Sabtu ini.

Memasuki siri kelima, Kugiran Masdo boleh dianggap antara artis yang paling dinantikan dalam segmen konsert festival hipster terhangat anjuran Media Prima Berhad (MPB) itu.

Besarnya impak band itu diakui vokalis Hujan, Noh Salleh yang turut serta dalam barisan artis yang akan menghiburkan peminat, Sabtu ini.

Teruja beraksi bersama Kugiran Masdo, Noh mengaku melihat bayangan dirinya dalam kumpulan berkenaan ketika mula memperkenalkan band Hujan.

"Melihat susah payah dan pahit getir kumpulan ini, ia mengimbas apa yang saya dan teman band lalui. Lagu tidak diputarkan stesen radio, tidak disokong stesen televisyen (TV) dan pelbagai isu lain kami hadapi sama seperti Kugiran Masdo.

"Namun, alhamdulillah, Hujan berjaya mencetuskan fenomena. Sekarang, tiba giliran Kugiran Masdo pula," katanya kepada BH Online.

Kugiran Masdo dianggotai Ali yang bertindak sebagai vokalis, Azham Ahmad (dram), Putu Ceri (bass/vokal) dan Asmawi (gitar/vokal).

Noh teringat bagaimana peminat ragu-ragu atau skeptikal ketika mula mendengar muzik diperjuangkan Hujan.

"Ramai yang tidak yakin hingga ada yang menganggap pentas muzik dan pertandingan lagu tidak layak untuk kami.

"Namun, lama-kelamaan, penggemar muzik dan peminat mula menerima apa yang kami perjuangkan. Samalah dengan apa yang dialami Kugiran Masdo sekarang... Akhirnya kerja keras berbayar," katanya.

Sabtu ini, pelbagai acara menarik merangkumi elemen kenegaraan, kekeluargaan, kecergasan dan hiburan menanti pengunjung di Festival GegaRia di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE di Jalan Duta, di sini, mulai jam 8.30 pagi.

Antara tarikannya, Throwback Tunnel membolehkan pengunjung meneroka kapsul mini dan mendalami sejarah serta pembangunan Malaysia setiap dekad.

Terowong itu turut memaparkan foto dengan kesan cahaya lampu dan muzik yang membangkitkan nostalgia. Di sekitar zon terowong turut disediakan kendera saji yang menjual pelbagai menu menarik.

Bagi segmen kecergasan, pengunjung dipelawa menyertai acara zumba bermula jam 8.30 pagi. Turut disediakan demonstrasi masakan bersama Cef Naem, GegaRia E-Games dan permainan tradisional.

Bermula petang, segmen artis bertemu peminat dan persembahan pentas pasti menghangatkan festival. Artis seperti Elfira Loy, Wani Kayrie, Reen Rahim dan Eyka Farhana akan tampil dalam slot Gaya Hidup.

Selain Noh Salleh dan Kugiran Masdo, konsert di pentas utama pada sebelah malam, bakal dijayakan artis tanah air antaranya IamNeeta, BitterSweet dan Bunkface.

Maklumat lanjut mengenai Festival GegaRia boleh didapati dengan melayari laman rasmi Facebook dan Instagram, GOGEGARIA.

34 dibaca
Berita Harian X