Khamis, 29 March 2018 | 5:12pm
PELAKON, Hanez Suraya ketika hadir pada majlis koleksi raya Leeyanarahman di Hotel Majestic, Kuala Lumpur. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

'Awi, jangan lagi kaitkan saya'

KUALA LUMPUR: Pelakon, Hanez Suraya, 33, berharap Awi Rafael tidak lagi mengaitkan namanya dalam mana-mana kenyataan bagi mengelakkan salah faham di pihak suaminya.

Katanya, penyanyi itu tidak perlu membangkitkan kisah lalu, tambahan pula masing-masing sudah bertahun-tahun meneruskan kehidupan sendiri.

"Saya terkejut apabila suami memaklumkan ada terbaca mengenai nama saya disebutnya, baru-baru ini. Perkara yang sudah lama berlalu, rasanya tak perlu diungkit semula, tambahan pula orang pun sudah lupa.

"Apabila dibangkitkan kembali, tentu ia boleh menimbulkan rasa kurang selesa kerana saya isteri orang. Sedikit sebanyak, pasti suami saya juga tertanya-tanya. Dia juga sepatutnya menjaga hati tunangnya.

"Memang selepas kenyataan itu keluar, ada yang meminta saya mengulas. Minta maaflah... Dulu, pasal isu saya pun dia ada bagi maklum balas. Tapi tak perlu rasanya, saya tiada kena mengena dengan dia. Cuma dalam kes ini saya harap jangan lagi kaitkan saya. Saya tak suka," katanya ketika ditemui pada pertunjukan fesyen Leeyana Raya, di sini.

Baru-baru ini, penyanyi kelahiran Singapura itu ada mengeluarkan kenyataan, dia mengenali tunangnya, pelakon, Atikah Suhaime, sejak lapan tahun lalu ketika masih bercinta dengan Hanez.


AWI dan Atikah bertunang pada 17 Mac lalu. - Foto Instagram @awirafael

Kata Awi, 32, pada awalnya perkenalan dengan Atikah adalah sekadar teman seperjuangan dalam seni. Kedua-duanya cuma mula rapat sejak lima bulan lalu.

Pasangan selebriti terbabit bertunang pada 17 Mac lalu di Kota Singa.

Pada masa sama, Hanez mengakui suaminya, Romie Razin Adilha Abd Rais, agak cemburu, namun yakin perasaan itu wujud disebabkan kasih sayang yang tidak berbelah bagi terhadapnya.

"Bukankah Cemburu tandanya sayang, tetapi tidaklah dia berlebihan-lebihan. Selepas tiga tahun hidup bersama, kami juga sudah saling memahami dan menerima diri masing-masing seadanya," katanya.

Pasangan terbabit berkahwin pada 25 Mac 2015 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Puteri Aleesya, 2.

Berita Harian X