Isnin, 9 April 2018 | 8:31pm
Zizan sifatkan peluang berlakon di sisi Raffi Ahmad sebagai ruang bertapak di Indonesia. - Foto ihsan Instagram Zizan Razak

Raffi Ahmad tawar Zizan berlakon di Instagram

KUALA LUMPUR: Sangkanya mesej peribadi yang dihantar pelakon popular Indonesia, Raffi Ahmad menerusi Instagram sekadar untuk bertanya khabar dan berbual mengenai perkembangan terbarunya.

Namun, Zizan Razak, 34, terkejut apabila pelakon dan pengacara kelahiran Bandung, Indonesia yang popular menerusi filem Love Is Cinta serta Bukan Cinta Biasa sebenarnya mahu menawarkan dia peluang berlakon.

"Dua bulan lalu, Raffi mempelawa saya ke Jakarta, Indonesia bagi membincangkan watak dalam filem terbarunya itu. Saya terkejut kerana tidak sangka tawaran itu datang.

"Sudah tentu peluang itu tidak saya lepaskan kerana saya memang ingin kembangkan bakat di negara luar," katanya.

Pelakon kelahiran Terengganu itu berkata, filem bergenre komedi romantik yang masih belum diberi judul itu sudah sebulan menjalani penggambaran.

Selain Zizan, produksi itu turut dibintangi pelakon Indonesia, Marsha Aruan dan Cut Meyriska.

"Ada beberapa lagi tawaran yang datang daripada produksi di sana. Tetapi, saya masih mempertimbangkan kerana terikat dengan komitmen lain di sini," katanya. yang menerima penghargaan sebagai Artis Lawak Meletop, Anugerah MeleTOP Era (AME) 2018, malam tadi.

Zizan menyifatkan, peluang itu datang ketika dia mencari ruang untuk meneroka sesuatu yang baharu selepas 11 tahun bertapak dalam industri hiburan.

"Pengalaman yang ada saya bawa ke sana supaya penggiat seni Indonesia dapat menilai keupayaan pelakon kita. Tahun lalu, saya ada menerima tawaran dari sana, tetapi terpaksa dilepaskan kerana masalah jadual.

"Apabila tawaran daripada Raffi datang, saya perlu terima untuk membawa bakat saya bertapak di sana," katanya.

Melihat dirinya masih lagi relevan sebagai artis komedi, Zizan berkata, pelawak lama sepertinya harus diberikan peluang untuk terus mengasah kemampuan, meskipun industri hiburan sedang meraikan kemunculan ramai bakat baharu.

Berita Harian X