Jumaat, 13 April 2018 | 4:06pm
DATUK Nassier Wahab selamat menjalani pembedahan membuang kelenjar pada lehernya, semalam. - Foto Instagram Nassier Wahab
DATUK Nassier Wahab selamat menjalani pembedahan membuang kelenjar pada lehernya, semalam. - Foto Instagram Nassier Wahab

Nassier selamat jalani pembedahan kelenjar

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Datuk Nassier Wahab, 55, selamat menjalani pembedahan membuang kelenjar pada leher di pusat perubatan swasta di Shah Alam, Selangor, awal pagi semalam.

Pembantu peribadinya, Alif Salim, berkata kelenjar sebesar bola ping pong pada leher kiri penyanyi itu berpunca daripada gangguan saraf selepas mencabut gigi sekitar awal tahun ini.

"Pembedahan kecil ini memang perlu dilakukan segera kerana ia semakin membesar. Walaupun tak sakit, beliau rasa kurang selesa dan risau jika penyakit lain pula datang andai ia ditangguhkan.

"Malah, sehari sebelum masuk ke hospital untuk membuat persediaan pembedahan, bengkak kelenjar itu katanya mula berdenyut-denyut. Alhamdulillah, semuanya sudah selesai.

"Berikutan ia hanya pembedahan kecil, doktor memintanya berehat beberapa hari saja sebelum bekerja semula. Kami ucapkan terima kasih di atas doa yang diberikan orang ramai," katanya kepada BH Online.

Kata Alif lagi, Nassier dibenarkan pulang ke rumah, hari ini, dan bakal mengadakan persembahan pertama selepas keluar wad pada 20 April ini di Ipoh, Perak.

"Datuk seorang yang kuat semangat dan komited pada janji. Ikutkan, beliau pastikan tiada tugasan yang dibatal atau ditunda sebelum beliau menjalani pembedahan ini.

"Apa pun, sebelum meneruskan persembahan di Perak, beliau sudah mendapatkan kebenaran doktor dulu," katanya mengenai penyanyi yang bakal tampil dengan album baharu berjudul Dunia Cinta itu.

Terdahulu, penyanyi berpengalaman itu meluahkan rasa kesyukuran apabila segala urusan sepanjang berada di hospital dipermudahkan.

"Syukur, alhamdulillah pembedahan berjalan lancar di bawah pengawasan doktor pakar. Tinggal untuk berehat saja dan kembali aktif untuk meneruskan kehidupan.

"Terima kasih juga di atas doa anda sekalian," katanya menerusi perkongsian gambar berbaju pesakit di katil hospital yang disertakan kapsyen di laman Instagram peribadinya, pagi tadi.

Berita Harian X