Jumaat, 20 April 2018 | 3:25pm
PELAKON, Nabila Huda. - Foto Zunnur Al Shafiq

'Sampai bila nak bayar harga kawan-kawan?'

KUALA LUMPUR: Pelakon, Nabila Huda kesal dengan sikap segelintir syarikat produksi yang tidak bertimbang rasa dalam soal bayaran ketika menawarkan peluang berlakon, meskipun harga yang diberikannya berpatutan.

Katanya, mereka seharusnya mempunyai peruntukan yang cukup sebelum memulakan sesuatu projek kerana sebagai pelakon berpengalaman, dia mengharapkan bayaran setimpal dengan kualiti kerja yang diberikan.

"Sesetengah pengurus produksi apabila berurusan dengan artis, kalau boleh mahu kurangkan bayaran. Tolonglah, sekarang sudah 2018, tetapi bayaran kami masih sama seperti 10 tahun lalu. Harga barang naik, tetapi gaji kami semakin kecil.

"Jika tiada bajet, jangan buat drama. Kumpul dahulu dana, baru rancang buat drama atau filem. Ini duit tiada, tetapi ada hati mahu mendapatkan pelakon hebat. Setiap kali berurusan, pasti minta 'harga kawan-kawan'.

"Sudah berbelas tahun saya terpaksa berdepan ayat yang sama. Sebagai pelakon, banyak perkara yang perlu saya fikir. Bayar dan saya akan berikan hasil kerja berkualiti kerja. Fikirlah sendiri.

"Jika mahu harga kawan-kawan, tanya agensi pencarian bakat atau ambil pelakon baharu," luah Nabila menerusi Insta Story.

Pada masa sama, bintang filem Munafik itu juga berharap syarikat produksi lebih telus ketika memberikan tawaran dan tidak sewenang-wenangnya membatalkan tawaran pada saat akhir tanpa sebarang alasan.

Dalam insiden terbaru, Nabila mengakui, terkilan apabila langsung tidak dihubungi syarikat produksi apabila tawaran untuknya dibatalkan, sedangkan dia sudah mengosongkan jadualnya berdasarkan perbincangan awal.

Dia bagaimanapun, mengakui kesilapannya kerana tidak bertegas meminta wang pendahuluan supaya tiada pihak mengambil kesempatan.

"Saya tidak berkecil hati jika produksi berterus-terang kerana ini memudahkan saya mengambil tawaran lain. Jika tidak bersetuju dengan harga yang saya tetapkan atau bajet kecil, berterus-terang saja.

"Jika tidak jadi ambil berlakon atau mempunyai pelakon pilihan lain, beritahu. Jangan suruh saya kosongkan jadual, selepas itu diam. Saya juga ada kerja lain.

"Jangan biarkan saya terkapai-kapai menanti kerana saya juga ada bil yang perlu dibayar," katanya dalam luahan itu.

Berita Harian X