Isnin, 23 April 2018 | 6:59pm
Penyanyi, Lan Solo menunjukkan alblum single terbarunya "Berpisah Tanpa Rela" di Warner Music, Damansara. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Tak sangka saya sekuat ini - Lan Solo

PETALING JAYA: Penyanyi Mohd Razlan Mohamed Yusof atau lebih dikenali sebagai Lan Solo tidak berkecil hati dengan sikap segelintir pengikut laman sosial yang mempersenda bayinya, Nur Amna Quxandra yang dilahirkan sumbing.

Bekas vokalis kumpulan Kristal itu berkata, dia juga tidak menyalahkan mereka kerana kebanyakan yang berbuat demikian adalah kanak-kanak yang masih belum matang fikiran.

"Tidak dinafikan, saya menerima komen negatif yang mempersenda apabila saya memuat naik gambar anak di laman sosial. Selepas melihat profil, kebanyakan yang berbuat demikian adalah kanak-kanak yang masih belum matang.

"Saya tidak sangka boleh sekuat ini ketika berdepan kecaman seperti itu. Bagaimanapun, hanya segelintir yang tidak sensitif kerana selebihnya tetap menyokong dan memuji tindakan saya berkongsi wajah anak walaupun tahu risiko bakal dihadapi," katanya.

Ditemui pada majlis pelancaran single terbarunya, Berpisah Tanpa Rela di Mutiara Damansara, di sini, hari ini, bekas finalis Gegar Vaganza Musim Keempat (GV4) turut memperkenalkan muzik video lagu hasil ciptaannya itu.

Penyanyi berusia 32 tahun ini berkata, dia juga tidak menyangka tindakannya berkongsi wajah puteri istimewanya itu memberi inspirasi kepada ibu bapa lain yang berdepan nasib serupa.

"Ada yang menghantar mesej sambil menunjukkan wajah anak mereka, sedangkan sebelum ini malu berbuat demikian. Kami juga bertukar-tukar maklumat mengenai kecacatan yang dialaminya. Dari situ, saya mengetahui kewujudan persatuan berkaitan.

"Mereka juga banyak membantu melancarkan urusan pendaftaran pembedahan anak saya yang bakal dilakukan pada hujung bulan depan. Sementara menanti waktu itu, saya dan isteri perlu memastikan keadaan kesihatan anak dalam keadaan memuaskan supaya urusan pembedahan tidak tertangguh," katanya.

249 dibaca
Berita Harian X