Rabu, 2 Mei 2018 | 9:51am
RUHAINIES sahut cabaran galas tanggungjawab baharu sebagai penerbit. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

'Bimbang tapi tak sampai hati tolak'

KUALA LUMPUR: Barangkali usia pembabitannya dalam dunia hiburan yang baru menjangkau empat tahun masih dianggap mentah, namun itu bukan halangan kepada Ruhainies mengorak langkah sebagai penerbit.

Ruhainies atau nama sebenarnya, Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 25, mengakui begitu teruja menyahut cabaran baharu, apatah lagi langkahnya itu turut mendapat sokongan produksi, Zeel Production.

Disebabkan mahu memberi fokus kepada tanggungjawab baharu itu, Ruhainies mengakui, dia agak keberatan menerima tawaran berlakon kerana bimbang gagal melunaskan amanah dengan baik.

"Saya ditawarkan membawa watak utama dalam drama, Anugerah Cinta Aisyah yang akan memulakan penggambaran, bulan depan. Sangka saya watak itu akan dibawakan pelakon lain kerana beberapa nama turut disenaraikan.

"Saya agak gusar kerana tidak yakin mampu menggalas dua peranan serentak. Saya masih baharu dalam dunia penerbitan dan tanggungjawab itu pula menuntut komitmen yang tinggi.

"Tidak sampai hati rasanya mahu menghampakan permintaan mereka, lagipun produksi itu banyak membantu menaikkan nama saya," katanya.

Adik kepada pelakon Risteena Munim itu berkata, selain ibu kota, penggambaran drama itu juga dijangka bakal diadakan di Budapest, Hungary, berkemungkinan besar selepas raya nanti.

"Memang dalam perancangan Budapest dipilih sebagai antara lokasi penggambaran. Apabila berpeluang ke sana, saya manfaatkan sebaik mungkin masa dan bajet dengan menerbitkan sebuah telefilem sebagai projek sulung.

"Teruja sudah tentu, maklum kali pertama menjadi penerbit. Mujur warga Zeel Production banyak membantu dan memberi tunjuk ajar," katanya.

Mengenai persediaan merealisasikan watak Aisyah, pelakon yang popular menerusi drama, Hello, Mr Perfect! itu berkata, produksi yang berkisar keagamaan itu memerlukannya bertudung labuh.

"Saya juga perlu mewarnakan kembali rambut lebih gelap untuk disesuaikan dengan tuntutan watak ketika di rumah. Sebelum ini, saya mewarnakan rambut untuk menjayakan kempen sebuah jenama.

"Saya masih meneliti skrip drama itu kerana banyak yang perlu dilakukan supaya tidak kelam-kabut pada saat akhir," katanya.

99 dibaca
Berita Harian X