Khamis, 3 Mei 2018 | 9:00pm
RIZ hanya mengambil tawaran berlakon ketika cuti semester. - Foto Aziah Azmee
RIZ Ismail. - Foto ihsan instagram pu_rizz

Ralat tolak tawaran berlakon Mr Grey

KUALA LUMPUR: Masih berbekas perasaan ralat di hati bakat yang dicungkil menerusi program realiti, Pencetus Ummah musim keempat, Riz Ismail apabila terpaksa melepaskan tawaran membintangi drama popular, Mr Grey.

Riz berkata, dia pernah ditawarkan untuk membawa watak Ilham Arsyad yang dilakonkan Shah Iskandar, namun terpaksa melupakannya kerana terikat dengan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

"Terkilan juga kerana tidak dapat berlakon, apatah lagi drama itu mendapat sambutan hangat penonton. Tetapi, saya terima ia bukan rezeki kerana dalam hidup ini, tidak semua yang kita mahukan sekelip mata berada dalam genggaman.

"Saya perlu memberi keutamaan kepada perkara lain yang lebih penting iaitu pelajaran. Ketika ini, saya masih lagi menyambung pengajian dalam jurusan Undang-Undang di UIAM," katanya mengenai drama yang menampilkan bakat baharu, Fendy Bakry dan Eyra Hazali.

Baru muncul dengan drama Kelip Kelip Kota London, Riz akur, tidak semua produksi sedia bertolak ansur dengan komitmennya sebagai penuntut.

"Saya hanya berlakon ketika cuti semester. Sedikit sebanyak, ia membataskan saya mencari peluang. Mujur ada beberapa produksi yang sedia menawarkan ruang mengasah bakat seperti Zeel Production.

"Sebelum ini, saya sempat menjayakan drama Geng Tadarus yang diterbitkan Pena Creative. Itupun saya terpaksa membahagikan masa. Insya-Allah, awal Ramadan ini, saya akan menjayakan penggambaran drama Anugerah Cinta Aisyah," katanya.

Selain Pencetus Ummah, Riz juga pernah menyertai program pencarian pendakwah, Akademi Sahur Asia atau AKSI Asia 2017 di Jakarta yang membabitkan penyertaan peserta dari Singapura, Indonesia dan Brunei Darussalam.

Biarpun tidak meraih kemenangan dalam program itu, Riz bersyukur apabila kehadirannya disedari beberapa produser yang menghulurkan peluang berlakon.

"Selepas tamat perjuangan di AKSI Asia 2017, saya ditawarkan berlakon empat telefilem di sana. Saya turut diberikan peranan utama dalam telefilem, Permintaan Suami Terakhir Di Bulan Ramadan," kata pelakon telefilem Jatuh Cinta Buta itu.

Berita Harian X