Sabtu, 5 Mei 2018 | 1:48pm
PELAKON, Fasha Sandha, mendukung dua anaknya, Putri Raysha Jemyma dan Putra Rayfal Rizal Ashram. - Foto: Halimaton Saadiah Sulaiman
PELAKON, Fasha Sandha. - Foto: Halimaton Saadiah Sulaiman

Fasha digelar Wonder Woman

KUALA LUMPUR: Kesungguhan Fasha Sandha memenuhi kemahuan anak sulung, Putra Rayfal, 5, yang ingin memiliki katil sendiri membuatkan netizen terharu dan kagum.

Malah, kegigihan aktres berusia 34 tahun itu menghias sendiri bilik anak-anak menyebabkan sebahagian peminat menggelarkan dirinya sebagai Wonder Woman.

Menerusi video yang dikongsi di laman sosial Instagram beliau, baru-baru ini, Fasha menunjukkan hasil kerjanya menghias katil anak di satu sudut dalam biliknya.

Bersama video berkenaan, Fasha turut menulis keterangan mengenai permintaan anak lelakinya itu untuk memiliki bilik dan katil sendiri.

"Terkejut ibu, baru lima tahun sudah minta bilik sendiri, tidur pun bawah ketiak ibu lagi. Mungkin dia nak katil sendiri sebab rasa diri sudah besar.

"Nasib baik ada ruang lagi dalam bilik ibu, jadi pada pagi Sabtu, ibu hubungi teman baik, Murshid, untuk pinjamkan trak dan temankan ibu membeli katil serta beberapa barang lain untuk bilik mereka.

"Ibu bangga, sebab tanpa seorang suami, ibu berjaya melakukan semua untuk anak-anak ibu. Beli-membeli pun semua (guna) duit ibu juga," tulis Fasha.

Dalam pada itu, Fasha bersyukur memiliki rakan yang sentiasa berada di sampingnya apabila beliau memerlukan bantuan.

Pada masa sama, pelakon jelita itu berharap anaknya memahami kesungguhan ibu mereka berbuat demikian, walaupun ia tidaklah sehebat hasil kerja pereka dalaman.

Fasha juga sempat berkongsi, walaupun sudah mempunyai katil sendiri, anak-anak tetap tidur bersamanya.

Bintang filem Anak Mami Nasi Kandaq dan Badang itu berkahwin dengan Rizal Ashram Ramli pada 27 April 2012, namun berpisah kira-kira empat tahun kemudian.

Hasil perkahwinan itu, mereka dianugerahkan dua cahaya mata, Putra Rayfal dan Putri Raysha Jemyma, 3.

Berita Harian X