Sabtu, 5 Mei 2018 | 5:40pm
PELAKON, Rozita Che Wan (kanan) bersama Anaknya, Aaisyah Dhia Rana. - Foto Nurul Syazana Rose

Nafi manipulasi anak sendiri

KUALA LUMPUR: Terpanggil membantu golongan ibu bapa membesarkan anak, artis dan ahli perniagaan terkenal, Rozita Che Wan, berharap kehadiran produk sulung puterinya, Aaisyah Champ Champ Champ, dapat membantu mengurangkan masalah kesihatan si kecil.

Mengaku cepat tersentuh melihat golongan kanak-kanak ditimpa penyakit, Rozita atau lebih mesra dengan panggilan Che Ta bersyukur apabila anak perempuannya, Aaisyah Dhia Rana, 3, jarang berdepan masalah kesihatan.

"Saya bersyukur selama Aaisyah membesar, dia jarang ditimpa sakit.

"Namun, hati saya memang mudah terguris apabila ada ibu bapa yang terpaksa 'berumah tangga' di hospital sebab anak mereka jatuh sakit. Jadi, saya berharap produk yang dikeluarkan ini dapat sedikit-sebanyak membantu si kecil.

"Berikutan Aaisyah sendiri memang memakan tablet terbabit dan kami pula mempunyai hubungan baik dengan pengilang, jadi kita keluarkan produk berkenaan untuk digunakan sama oleh kanak-kanak lain," katanya.

Rozita, 45, juga tidak melihat kehadiran produk terbabit sebagai satu manipulasi, sebaliknya sekadar berkongsi sesuatu untuk kebaikan kanak-kanak lain.

"Tiada langsung niat saya untuk memanipulasi anak sendiri. Berikutan ramai yang bertanya, apa yang Aaisyah makan sewaktu proses tumbesarannya, jadi saya kongsikan ia sebagai produk makanan tambahan yang terbaik.

"Ia berasaskan makanan sunnah yang premium dan berkualiti tinggi untuk kanak-kanak seperti kurma, madu, kismis, delima, aprikot, buah tin, oren, badam, tomato, anggur dan biji matahari," ujarnya ketika ditemui pada majlis minum petang dan pertunjukan koleksi Rizman Ruzaini Raya 2018 di ibu kota.

Dakwa Rozita, selain membantu dan menyokong perkembangan minda kanak-kanak, ia juga dapat membekalkan nutrien penting, mempercepatkan pertumbuhan gigi, melawan sembelit serta membekalkan tenaga sepanjang hari.

68 dibaca
Berita Harian X