Jumaat, 25 Mei 2018 | 12:10pm
HAEL contohi Faizal Tahir yang sentiasa berani menampilkan pembaharuan dalam lagu ciptaannya. - Foto Zunnur Al Shafiq
HAEL contohi Faizal Tahir yang sentiasa berani menampilkan pembaharuan dalam lagu ciptaannya. - Foto Zunnur Al Shafiq

'Hanya ikut formula, bukan tiru'

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Hael Husaini, mengakui cuba mengikut formula diguna pakai Faizal Tahir dalam menghasilkan lagu, namun tidak bermakna dia meniru cara komposer itu.

Akur ramai yang menganggap lagu terbaru ciptaannya bersama Ezra Kong, Haram, mempunyai persamaan dengan corak muzik ditampilkan Faizal, Hael bagaimanapun menafikan perkara itu.

Katanya, sama seperti Faizal yang sentiasa berusaha mencari pembaharuan setiap kali berkarya, dia juga melakukan perkara serupa ketika menulis lagu yang turut menampilkan Dayang Nurfaizah itu.

"Jika diamati dengan teliti, corak muzik saya dan Faizal agak berbeza. Diakui, ada yang menganggap Haram mempunyai persamaan dengan lagu ciptaan Faizal. Memang ada persamaan, tetapi hanya dari segi formula.

"Kita tahu Faizal antara komposer yang berani menampilkan pembaharuan dalam setiap karyanya. Saya ambil semangat itu dengan mengikut jejak langkahnya apabila cuba membawa muzik saya ke depan," katanya.

Di sebalik kritikan yang dilemparkan, Hael bersyukur apabila video muzik lagu itu yang dimuat naik di YouTube sejak 13 April lalu sudah mencecah lebih tiga juta tontonan.

Penerimaan positif itu, kata Hael, membuat dia berbangga kerana Haram mengatasi kekuatan Jampi yang hanya mencatat hampir sejuta tontonan dalam masa sebulan ketika diperkenalkan.

"Saya mendapat kepuasan yang maksimum ketika menghasilkan video muzik ini. Tambahan pula, Dayang memberikan komitmen yang sangat baik sepanjang penggambaran dijalankan.

"Saya juga gembira membaca pelbagai maklum balas memberangsangkan daripada peminat yang menyukai usaha kami itu," katanya.

Berita Harian X