Isnin, 28 Mei 2018 | 9:11pm
PERMINTAAN Ummi Nazeera yang teringin menjamah buah durian dan sandwic tuna sejam sebelum waktu berbuka.
UMMI Nazeera bersama suaminya Izzar Anwari.

Ummi Nazeera teringin berbuka durian, sandwic tuna

KUALA LUMPUR: Permintaan Ummi Nazeera yang teringin menjamah buah durian dan sandwic tuna sejam sebelum waktu berbuka, membuatkan suaminya, Izzar Anwari kelam-kabut.

Namun, demi memenuhi kehendak isteri yang hamil anak sulung, Izzar berusaha mendapatkan juadah dimahukan bintang filem Bisik Pada Langit itu.

Menceritakan insiden itu, Izzar hairan dengan permintaan Ummi yang mengidam makanan yang dianggapnya di luar jangkaan. Namun, akuinya, setakat ini, isterinya tidak teringin juadah pelik-pelik.

"Cuma kali ini, tiba-tiba Ummi minta buah durian dan sandwic tuna serentak. Ketika itu, saya baru pulang dari kerja dan ada lagi sejam sebelum waktu berbuka.

"Saya tak tahu apa kaitan buah durian dan sandwic tuna... Lain macam punya mengidam.

"Tapi sebarang soalan tambahan, saya keluar dan pergi membeli dua juadah itu. Namun, sampai sekarang saya berfikir, apa hubungannya antara durian dan sandwic tuna?" katanya melalui entri di Instagram.

Namun, Izzar sempat berpesan kepada golongan suami supaya mengikut apa saja kehendak isteri yang mengandung. Ini kerana katanya, wanita hamil akan beremosi jika tidak mendapat makanan diidamkan.

"Untuk suami di luar sana, beli saja apa yang isteri mengandung idamkan tanpa banyak soal. Kalau tak mengandung, tiada masalah. Tetapi kalau mengandung dan anda tidak beri apa yang diinginkan, nahaslah," katanya berseloroh.

Bulan lalu, Ummi berkongsi khabar gembira dirinya hamil empat bulan. Izzar dan Ummi mendirikan rumah tangga pada 23 Julai tahun lalu.

27 dibaca
Berita Harian X