Rabu, 6 Jun 2018 | 5:47pm
JAHITAN pada bibir anak Lan Solo, Nur Aman Quxandra, selamat dibuka hari ini.

'Doktor nak beri kejutan kepada kami'

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Lan Solo, memaklumkan belum dapat melihat hasil pembedahan pada bahagian bibir anak bongsunya walaupun jahitan sudah dibuka pada hari ini.

Menurutnya, jahitan pada bibir Nur Aman Quxandra, yang selamat dibedah seminggu lalu, kini digantikan pula dengan plaster.

Lan atau nama penuhnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, 33, berkata, doktor ingin memberikan kejutan buat dirinya dan isteri, Nur Sheila Hassim.

"Alhamdulillah, jahitan pada bibir anak saya selamat dibuka pada hari ini. Cuma, kami belum lagi dapat melihat hasilnya kerana ia digantikan dengan plaster. Insya-Allah, semuanya berjalan dengan lancar.

"Sebak saya melihat anak bongsu yang masih kecil menahan sakit kerana dibedah. Dia belum boleh bercakap, jadi kesakitan itu diluahkan menerusi tangisan. Ada ketikanya, dia tidak mahu menyusu pun.

"Dalam pada itu, saya juga perlu menguatkan semangat isteri kerana dia sering menitiskan air mata apabila melihat anak kami menanggung kesakitan. Apa pun, terima kasih kepada orang ramai yang mendoakan kesejahteraan puteri kami," katanya kepada BH Online.

Terdahulu, bekas vokalis Kristal itu memaklumkan, anak keempatnya yang baru mencecah usia tiga bulan itu memasuki bilik pembedahan bagi memperbetulkan bibir yang sumbing di sebuah pusat perubatan di sini, Khamis lalu.

Selain Quxandra, pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 6 Disember 2009 itu turut dianugerahkan dengan tiga cahaya mata lain, Nur Amna Qaleesya, 6, Nur Amna Qeesyara, 4 dan Muhammad Akid Qassyaff, 3.

47 dibaca
Berita Harian X