Khamis, 7 Jun 2018 | 4:50pm
ANDI Bernadee tak kisah dilabel sebagai penyanyi saduran. Foto: Saifulizan Tamadi

Andi tak 'curi' lagu penyanyi lain

KUALA LUMPUR: Penyanyi Andi Bernadee, mengakui terdapat segelintir pendengar yang keliru dan menyangka single terbarunya, Semalam Sahur Di Mana diciplak daripada lagu popular Indonesia.

Andi, 26, berkata lagu yang dirakamkan sebelum Ramadan itu adalah projek khas membabitkan kerjasama antara syarikat rakaman Warner Music Malaysia dan Indonesia.

"Lagu itu pernah dibawakan penyanyi Indonesia, Roy Ricardo pada 2015 menggunakan judul, Semalam Bobo Di Mana. Keputusan untuk merakamkan semula lagu ini dibuat oleh kedua-dua syarikat rakaman, malah kami sudah memaklumkan Semalam Sahur Di Mana adalah lagu saduran.

"Mungkin ada peminat yang terkeliru dan menganggap saya mencuri lagu penyanyi luar. Ketika sidang media, baru-baru ini, Roy turut hadir memberikan penjelasan dan sebagai tanda sokongan," katanya.

Ditanya sampai bila mahu membawakan lagu penyanyi lain, penyanyi yang mula mencipta nama menerusi aplikasi Smule itu memaklumkan, dia hanya mengikut perancangan pihak pengurusan.

Akur mereka lebih arif dalam menyusun strategi bagi setiap penyanyi yang bernaung di bawah pengurusan, Andi berkata, dia pernah tampil dengan lagu sendiri, Tiada Lagi Maaf, tetapi kurang mendapat sambutan.

"Saya anggap ini sebahagian daripada cabaran yang perlu dilalui, tetapi saya tidak pernah patah semangat.

Saya juga tidak kisah dilabel sebagai penyanyi saduran kerana yakin masa untuk bakat saya menyerlah akan tiba juga nanti.

"Ketika ini, saya masih berkongsi video nyanyian saya di laman sosial seperti yang sering saya lakukan sebelum dikenali ramai," katanya yang mula mendapat perhatian apabila menyanyikan semula lagu penyanyi Indonesia, Upiak Isil, Tak Tun Tuang.

Menyentuh aktiviti sepanjang bulan puasa, Andi berkata, dia banyak menyertai aktiviti kemasyarakatan bersama penyanyi lain yang bernaung di bawah Warner Music menerusi program anjuran DiGi.

Berita Harian X