Isnin, 11 Jun 2018 | 11:38am
SARAH gemar memasak untuk dijamah tetamu pada hari raya. - Foto Mahzir Mat Isa
SARAH gemar memasak untuk dijamah tetamu pada hari raya. - Foto Mahzir Mat Isa

Sarah tak ajar anak bermewah

KUALA LUMPUR: Penyanyi kecil molek, Siti Sarah Raisssuddin dan suami, Shuib Sepahtu jarang berhabis semata-mata untuk membuat persiapan meraikan 1 Syawal kerana tidak mahu memanjakan anak mereka dengan kemewahan.

Bukan berkira, Sarah yang kini popular dengan lagu Semakin berkata, mereka sekeluarga lebih selesa bersederhana dan hanya berbelanja mengikut keperluan untuk mengelakkan pembaziran.

"Orang lain mungkin menyediakan beberapa pasang pakaian sedondon untuk digayakan sekeluarga, tetapi kami tidak mengamalkan tradisi itu. Mana-mana pakaian yang masih boleh dipakai dan muat, itulah baju raya kami sekeluarga.

"Bukan berkira, tetapi kami mahu mengamalkan kesederhanaan dan tidak terlalu bermewah-mewah untuk anak-anak," katanya.

Namun, Sarah, 33, berkata, dia dan suaminya lebih suka mengadakan jamuan untuk sanak-saudara dan sahabat-handai setiap kali menjelang 1 Syawal.

"Sudah menjadi kebiasaan, saya dan suami suka menjamu tetamu. Pintu rumah kami sentiasa terbuka dan tradisi itu tetap kami teruskan pada raya nanti.

"Cuma, ketika ini, masih belum banyak persiapan yang dibuat memandangkan kami baru pulang menunaikan umrah. Saya hanya sempat membeli kuih raya yang dijual Bob AF dan Mark Adam," katanya.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, dia dan keluarga meraikan 1 Syawal di ibu kota, malah kediaman mereka di Puchong, Selangor menjadi tempat semua berkumpul pada hari raya.

"Mungkin kami akan pulang sekejap ke Johor Bahru untuk menziarahi saudara-mara sebelah suami, tetapi tidak bermalam. Tahun lalu, kami tidak beraya sangat kerana Shuib menghidap demam campak.

"Jadi, sanak-saudara saya dan Shuib datang ke rumah kami untuk menziarahi," katanya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Kesetiaan dan Saat Hilang Cintamu itu berkata, dia akan sibuk di dapur menyediakan pelbagai juadah untuk dinikmati pada pagi raya seperti rendang, kerutuk, kuah kacang, lodeh, sambal sotong dan daging Bali.

"Saya lebih suka memasak sendiri kerana mahu tetamu merasai air tangan berbanding membuat tempahan katering. Shuib selalunya bantu menyediakan juadah yang perlu dibakar.

"Saya bersyukur suami tidak cerewet soal makanan. Apa yang dihidang, itu yang akan dijamah dengan penuh berselera," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X