X
Ahad, 17 Jun 2018 | 11:39am
HAZAMI. - Foto Nurul Shafina Jemenon
HAZAMI. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Hazami tertekan siapkan lagu Aishah

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Hazami mengaku tertekan ketika diminta menghasilkan lagu terbaharu Aishah berjudul Malar.

Hazam memberitahu, situasi itu berlaku disebabkan dia cukup mengagumi Aishah dan berusaha menghasilkan karya terbaik, bukan sekadar melepaskan batok di tangga.

"Apabila Aishah menelefon dan meminta saya membuat lagu untuknya, saya jadi tak tentu arah.

"Boleh dikatakan saya mengalami tekanan dan tak tidur tiga hari. Saya meletakkan Aishah di tempat yang paling tinggi. Disebabkan itu, saya cuba menghasilkan yang terbaik buatnya.

"Lagu berjudul Malar ini memang saya cipta khas untuknya. Lirik lagu itu menggambarkan Aishah sendiri yang malar segar dan tidak pernah berubah dari mula-mula bergelar penyanyi hinggalah hari ini," katanya kepada BH Online.

Hazami yang cukup popular dengan lagu Sonata Musim Salju dan Mungkir Bahagia ini ditemui pada sesi rakaman single Malar di Studio NAR di sini, baru-baru ini.

Ternyata apa yang dikatakan Hazami itu benar apabila Aishah berjaya menyampaikan lagu terbabit seperti yang dibayangkannya.

Lebih mengagumkan, mutu vokalnya masih sama seperti zaman mudanya dulu. Malah, penyanyi berusia 53 tahun itu juga mengambil masa tidak sampai sejam untuk menyiapkan proses rakaman.

Mengulas lagu berkenaan, Aishah atau nama sebenarnya, Wan Aishah Wan Ariffin memberitahu, pertama kali mendengar lagu itu, melodinya sudah melekat dalam fikiran.

"Saya berpuas hati dengan apa yang Hazami hasilkan. Saya memang suka dengan lagu ini. Harapnya lagu ini dapat diterima ramai dan memanjangkan lagi jangka hayat saya dalam industri," kata juara musim keempat Gegar Vaganza (GV) ini.

Tambah Aishah, single Malar akan diperdengarkan secara eksklusif pada Konsert Pesta Raya 2018 Dua Diva yang akan diadakan di Esplanade, Singapura pada 13 Julai depan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X