Ahad, 17 Jun 2018 | 2:02pm
BAKAT baharu, Riena Diana. - Foto Aziah Azmee

'Riena takut pengarah Nur garang'

KUALA LUMPUR: Penangan watak Dr Qadeeja dalam drama rantaian popular Nur, bakat baharu, Riena Diana beroleh populariti sekelip mata hingga jumlah pengikut laman sosialnya melonjak.

Dicungkil bakat melalui Drama Festival Kuala Lumpur 2017, Riena terhutang budi kepada pengarah Shahrulezad Mohameddin yang yakin dengan kemampuannya beraksi dalam drama Nur.

"Melalui The 8 Unit, saya diberi peluang menghadiri sesi uji bakat. Sebenarnya, untuk drama Nur, saya ikut sesi uji bakat tiga hari sebelum penggambaran bagi babak Dr Qadeeja bermula.

"Sebelum itu, watak berkenaan hendak diberi kepada seorang personaliti Instagram. Namun, nampaknya, rezeki menyebelahi saya.

"Saya berterima kasih kepada Shahrulezad yang membuka ruang kepada saya. Sebelum ini, saya hanya dengar nama beliau dan tidak pernah bekerja dengannya... Takut dia garang.

"Sebaliknya, apabila berada di set penggambaran, saya sangat seronok. Shahrulezad juga membimbing saya mewarnakan watak. Kesan lakonan itu, ramai yang bersimpati dengan nasib Dr Qadeeja dalam Nur," katanya kepada BH Online.

Riena juga mengaku bertuah dapat berguru dengan pelakon hebat seperti Datuk Jalaludin Hassan, Fatimah Abu Bakar, Azhan Rani, Noorkhiriah, Syafiq Kyle dan Amyra Rosli dalam produksi itu.

Tambah Riena atau nama sebenarnya, Nur Qamariena Diana Zulreal, dia pernah mengenali Syafiq ketika mereka membintangi drama Dekatkan Jarak Kita.

"Tetapi, dalam drama itu, kami tidak ada babak bersama," katanya yang mengaku Syafiq sebagai pelakon yang baik.

Riena mula aktif berlakon sejak tahun lalu. Drama Villa Qhazara menjadi pertaruhan pertamanya di pentas lakonan.

"Ketika itu, saya masih belajar di kolej. Saya perlu bijak membahagikan masa. Ini kerana abah berpesan, kalau hendak jadi artis, biarlah habiskan pelajaran," katanya.

Riena berkata, dia pertama kali memegang watak heroin dalam drama Cinta Lemon Madu yang disiarkan di portal Tonton.

"Saya berlakon di sisi Aidil Aziz dan Ruhainies. Saya diberitahu, drama itu akan disiarkan di slot Lestary di TV3, tidak lama lagi," katanya yang sedang melunaskan penggambaran drama Formula Cinta di samping Aprena Manrose dan Isa Khan.

Mengenai sambutan Aidilfitri, Riena berkata, dia menyambut Syawal di ibu negara dan pulang ke kampung ibunya di Taiping, Perak.

Berita Harian X