Isnin, 18 Jun 2018 | 1:13pm
LAN Solo bersikap terbuka menerima kecaman segelintir peminat. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

'Saya tahu ramai rimas'

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Lan Solo bersikap terbuka menerima kecaman segelintir peminat yang menganggap lakonannya dalam drama Pengantin Musim Salju menjengkelkan.

Lan atau nama penuhnya, Mohd Razlan Mohamed Yusoff, 33, mengaku ketika mula menerima tawaran berlakon, dia kurang yakin namun mahu menyahut cabaran.

"Ramai yang rimas dan jengkel dengan saya kerana watak Irham yang dilakonkan. Pelbagai maklum balas yang diterima, namun gembira kerana ia berjaya memberikan kesan kepada penonton.

"Pada mulanya, saya sekadar mahu watak kecil, namun tidak sangka diberi peranan begitu. Bukan apa, takut kekok dan kelihatan kaku hendak beraksi di kaca televisyen," katanya kepada BH Online.

Mengulas mengenai sambutan Aidilfitri, Lan memberitahu, dia dan keluarga menyediakan persiapan saat-saat akhir.


LAN Solo dan isterinya, Nur Sheila Hassim. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

"Namun, pastinya, keutamaan diberi kepada anak-anak. Apatah lagi anak bongsu saya baru menjalani pembedahan membetulkan bibir sumbing. Tahun ini tiba giliran untuk kami beraya di Perak bersama sanak-saudara saya," katanya.

Lan dan isterinya, Nur Sheila Hassim yang mendirikan rumah tangga pada 6 Disember 2009, memiliki empat cahaya mata. Mereka adalah Nur Amna Qaleesya, 6, Nur Amna Qeesyara, 4 dan Muhammad Akid Qassyaff, 3 dan Nur Aman Quxandra.

Berita Harian X