Selasa, 26 Jun 2018 | 4:58pm
PENERBIT Eksekutif Infinitus, Gayatri Su-Lin Pillai. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
KETUA Bahagian Melayu dan Nusantara, Kumpulan Kandungan Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh (kiri) bersama Penerbit Eksekutif Infinitus, Gayatri Su-Lin Pillai (tiga dari kanan) dan pelakon, Delimawati (tengah) Khuda (tiga kiri) dan Datuk Awie (dua dari kiri) memotong pulut kuning pada majlis promosi filem Hantu Kak Limah di Kuala Lumpur. - Foto: Nurul Syazana Rose Razman
PELAKON, Zul Ariffin. - Foto: Rohanis Shukri

Gaya serah jodoh dengan Zul kepada Tuhan

KUALA LUMPUR: Penerbit, Gayatri Su-lin Pillai, bagai memberikan bayangan hubungannya dengan pelakon sensasi, Zul Ariffin, kembali bertaut apabila tidak menolak andai jodohnya ditakdirkan dengan aktor berusia 32 tahun itu.

Biarpun enggan terlalu gopoh bercerita lanjut mengenai hubungan terbabit, produser berkenaan mengaku beliau memahami sikap bintang J Revolusi itu, selain selesa berkawan dengannya.

"Saya tidak mahu melayan gosip (mengenai hubungan kembali bertaut) yang bertebaran itu. Biarlah apa orang hendak kata sebab kalau saya menafikannya sekalipun, mereka akan tetap cakap perkara itu betul.

"Ya, sejak dulu saya selesa berkawan dengannya. Kalau Zul kata saya matang, sebenarnya dia lebih matang berbanding saya. Apapun, saya serahkan soal jodoh kepada Tuhan," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Hantu Kak Limah, di sini hari ini.

Naskhah arahan Mamat Khalid yang dilakonkan oleh Delimawati, Datuk Awie, Erra Fazira, Uqasha Senrose, Sabri Yunus serta Zul itu akan menemui penonton di seluruh negara mulai 9 Ogos depan.

Gayatri, atau lebih mesra disapa Gaya, dan Zul pernah intim kira-kira lima tahun lalu, namun pada November 2015 penerbit berkenaan mendedahkan hubungannya dengan aktor itu sudah terlerai. Ketika itu juga muncul gosip mengatakan Zul bercinta dengan pelakon, Zahirah Macwilson.

April lalu, Zul membuat pengakuan kepada BH mengenai hubungannya dengan Zahirah sudah berakhir kira-kira sebulan sebelum itu.

Sementara itu, Gayatri turut mengaku dirinya ada berkunjung ke rumah Zul untuk beraya bersama keluarga pelakon bertubuh sasa berkenaan.

Begitupun, beliau menepis dakwaan mengatakan mereka pergi bercuti bersama-sama ke Bali, Indonesia, baru-baru ini.

"Dakwaan itu tidak betul. Orang boleh cakap apa saja mengenai kami. Sejak dulu lagi kami sudah hadapi gosip sebegini. Kami serahkan semua itu kepada andaian dan tanggapan orang," katanya yang turut menerbitkan filem terbaru, Sangkar, lakonan Zul bersama Remy Ishak dan Mira Filzah.

Berita Harian X