Selasa, 26 Jun 2018 | 6:42pm
PELAKON dan penyanyi, Datuk Awie pada majlis sidang media Hantu Kak Limah di Kuala Lumpur. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
PELAKON dan penyanyi, Datuk Awie pada majlis sidang media Hantu Kak Limah di Kuala Lumpur. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Tiada guna saling membenci - Awie

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Datuk Awie, mengakui kehidupannya sekarang sudah banyak berubah seiring dengan peningkatan usia.

Bukan sekadar lebih selesa meluangkan masa di rumah bersama keluarga jika ada waktu senggang, artis yang akan genap berusia 50 tahun pada November depan itu juga berkata, beliau membuang unsur negatif dalam diri bagi mengekalkan hubungan baik dengan pelbagai pihak.

Menurut Awie atau nama penuhnya Ahmad Azhar Othman, pengalaman yang dikutip sepanjang kira-kira tiga dekad dalam industri seni turut mendewasakan dirinya.

"Pengalaman memang banyak mendewasakan saya. Jika satu ketika dulu saya mudah marah dan melenting, namun situasi kini berbeza. Malah, saya juga lebih suka meluangkan masa bersama keluarga daripada keluar melepak.

"Rutin kehidupan turut berubah dan saya bertuah kerana mempunyai isteri yang begitu memahami. Kadang kala, saya mengeratkan hubungan kekeluargaan dengan memasak untuk isteri dan anak-anak mengikut resipi ciptaan sendiri.

"Tiada gunanya kita saling membenci dan sebagainya kerana industri ini kecil saja. Contohnya, dulu saya mengelakkan diri daripada Erra Fazira, namun akhirnya kini berkawan baik kerana banyak tawaran kerja yang mahukan kami bekerjasama," kata Awie.

Vokalis Wings itu mendirikan rumah tangga bersama Sharifah Ladyana Syed Samsuddin pada 7 Oktober 2016. Sebelum itu, Awie pernah berkahwin dengan penyanyi, Arni Nazira Anuar, pada 1998. Mahligai mereka bagaimanapun hanya bertahan selama lapan tahun.

Beliau kemudian menikahi Rozana Misbun pada 2006, tetapi kedua-duanya tidak lagi tinggal sebumbung sejak 2014.

Menerusi perkahwinan dengan Arni, Awie dikurniakan dua anak perempuan iaitu Puteri Aleeya Antasha, 17, dan Puteri Aleefa Antasha, 15. Bersama Rozana pula, dia dianugerahkan tiga cahaya mata iaitu Putra Ahmad Merrah, 10, Putra Ahmad Rezzki, 9, dan Puteri Qasseh Antasha, 7.

Awie yang ditemui pada majlis sidang media filem lakonannya, Hantu Kak Limah (HKL), turut berkongsi keterujaan menantikan karya terbaru arahan Mamat Khalid itu. Ia dijadualkan menjengah pawagam bermula 9 Ogos depan.

"Saya belum berkesempatan untuk menonton filem ini, namun daripada 'risikan' yang dilakukan, hasilnya memberangsangkan. Jika mengikut skrip asal, pastinya saya berharap HKL dapat menggeletek peminat menerusi lawaknya yang spontan.

"Biarpun filem ini menggabungkan barisan pelakon lama dan baharu, saya tidak mempunyai sebarang masalah menjayakannya kerana semua pihak yang terbabit menghormati pengarah. Itulah elemen penting yang perlu ada dan ia memang memudahkan kerja semua pihak," kata Awie.

Berita Harian X