Khamis, 28 Jun 2018 | 3:51pm
LAN Solo tepis godaan peminat yang cuba menagih kasih. - Foto Aswadi Alias

'Godaan peminat ujian supaya tak leka'

KUALA LUMPUR: Penyanyi Lan Solo bertekad untuk tidak mensia-siakan kepercayaan isterinya, Nur Sheila Hassim meskipun, dihujani pelbagai mesej peminat di laman sosial yang sanggup berkongsi kasih.

Tidak mahu bermegah dengan perhatian yang diberikan, terutama selepas menyertai program realiti, Gegar Vaganza musim keempat, Lan menganggap, semua itu sebagai ujian yang mengingatkannya supaya tidak leka.

Lan berkata, dia juga semakin berhati-hati dalam setiap tindak-tanduknya supaya tidak disalahertikan oleh segelintir pihak yang hanya menanti masa untuk menjatuhkannya.

"Mujur isteri faham kerana sudah terbiasa menerima mesej seperti itu. Apa yang penting, kesetiaan saya terhadap isteri tidak pernah berbelah-bahagi. Alhamdulillah, setakat ini, saya tidak pernah terfikir untuk menduakan isteri.

"Perkara ini sebenarnya membuat saya lebih berhati-hati mengatur langkah kerana kita tidak pernah tahu niat orang lain. Jika boleh dielakkan, saya cuba kerana tidak mahu perkara tidak diingini berlaku," katanya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Berpisah Tanpa Rela itu berkata, dia juga selesa ditemani isteri ketika menghadiri sesuatu majlis, malah Sheila juga bertanggungjawab menguruskan perjalanan kerjayanya.

"Itu lebih mudah kerana Sheila sudah masak dengan perangai saya. Apabila Sheila ada bersama, sedikit sebanyak dapat menjauhkan saya daripada perkara yang mampu menggugat kebahagiaan kami," katanya.

Lan dan Sheila mendirikan rumah tangga pada 5 Disember 2009 serta dikurniakan empat cahaya mata, Nur Amna Qaleesya, 8; Nur Amna Qeesyara, 6; Muhammad Akid Qassyaff, 4, dan Nur Amna Quxandra yang dilahirkan 24 Februari lalu.

Dalam perkembangan lain, Lan turut berkongsi, dia dan isterinya baru mengeluarkan Kurma Lan Solo, selain buah-buahan kering dan kekacang untuk kudapan pada Ramadan lalu.

"Selain butik yang sudah tiga tahun diusahakan, kami juga mahu memperluaskan cabang perniagaan. Sekiranya usaha ini berhasil, kami akan kembangkan lagi dengan mempelbagaikan pilihan produk," katanya.

15 dibaca
Berita Harian X