Jumaat, 29 Jun 2018 | 10:03am
NUR Sheila Hassim dan Nur Amna Quxandra yang menjalani pembedahan membetulkan sumbing, baru-baru ini.

Ada sebab tegah cium - Isteri Lan Solo

KUALA LUMPUR: "Bukan tak boleh cium."

Isteri Lan Solo, Nur Sheila Hassim memohon pengertian ramai mengenai tindakannya melarang anak bongsu kesayangan, Nur Amna Quxandra yang menjalani pembedahan membetulkan sumbing, baru-baru ini, dicium.

Jelas Sheila, 32, dia terpaksa mengambil langkah berjaga-jaga berikutan luka pada bahagian pembedahan iaitu jahitan pada bibir anaknya, masih belum terbuka sepenuhnya.

"Bukan tidak boleh cium, cuma kalau boleh, kami hendak bagi luka jahitan pada baby Xandra betul-betul kering. Sekarang jahitan pada bahagian dalam bibir belum terbuka.

"Apatah lagi anak saya menerima lapan jahitan pada bibir luar dan tiga jahitan pada sebelah dalam. Jadi, kami mahu menjaga dia sebaik-baiknya.


NUR Sheila Hassim dan Lan Solo. - Foto NSTP

"Saya memohon kerjasama semua pihak termasuk mereka yang datang beraya di rumah dan berjumpa Xandra, faham kesulitan yang kami alami," katanya kepada BH Online.

Sheila berkata, dia tidak mahu mengambil sebarang risiko kerana mahu luka pada bibir anaknya pulih sepenuhnya.

Quxandra yang dilahirkan di sebuah pusat perubatan di ibu negara pada 24 Februari, menjalani pembedahan membetulkan sumbing, baru-baru ini.

Selain Quxandra, Lan dan Sheila yang bernikah pada 2009, dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Nur Amna Qaleesya, 6, Nur Amna Qeesyara, 4 dan Muhammad Akid Qassyaff, 3.

Berita Harian X