Sabtu, 7 Julai 2018 | 12:07pm
PELAKON, Yana Samsudin dan suami, Fadzil Zahari, serta anak mereka, Aisy Mateen, ketika menghadiri sebuah acara di ibu kota, tahun lalu. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
YANA Samsudin ketika meraikan ulang tahun kedua CJ Wow Shop di Balai Berita, Bangsar, baru-baru ini. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Yana terkesan kes Adam Rayqal

KUALA LUMPUR: Insiden bayi ditemui mati di rumah pengasuh, baru-baru ini, ternyata meninggalkan kesan buat pelakon dan pengacara, Yana Samsudin.

Mengakui sukar untuk mempercayai orang luar menjaga anaknya, Aisy Mateen, 2 tahun, Yana lebih selesa membawa puteranya itu bersama-sama ke mana-mana acara atau majlis.

"Jujur, saya akui tidak memberikan kepercayaan kepada orang luar untuk menjaga anak saya. Bukan apa, sedangkan ada masanya kita sendiri kurang sabar dengan keletah mereka, apatah lagi orang lain?

"Jadi, lebih baik saya membawa anak bersama-sama ke majlis dan tempat bekerja, apatah lagi dia menyusu badan. Cuma baru-baru ini saja, Mateen seperti menolak untuk minum susu badan. Mungkin dia sudah semakin membesar.

"Sejak dulu, saya sebenarnya lebih selesa menjaganya sendiri. Namun, ada pengorbanan yang harus dilakukan, contohnya saya tidak dapat menerima tawaran kerja di luar ibu kota," katanya.

Yana meluahkan rasa terkilan dengan kes bayi lelaki berusia lima bulan, Adam Rayqal Mohd Sufi Naeif, yang ditemui dalam keadaan menyayat hati di di rumah pengasuhnya di Kampung Nakhoda, Batu Caves, kira-kira jam 11 malam, Selasa lalu.

Mayat Adam Rayqal yang disorokkan dalam bahagian sejuk beku peti ais dua pintu lengkap dengan pakaian dan berbalut kain lampin serta disumbat dalam beg berwarna hijau ditemui oleh sepasukan anggota bahagian siasatan jenayah yang membuat pemeriksaan di rumah berkenaan.

"Sebagai ibu, saya sangat terkesan dengan apa yang berlaku. Diharap insiden yang terjadi ini dapat menjadi pengajaran buat semua pihak untuk lebih berhati-hati pada masa akan datang.

"Saya doakan juga semua orang di luar sana berupaya mendapat pengasuh yang terbaik untuk anak masing-masing. Insya-Allah," kata Yana.

Berita Harian X