Selasa, 10 Julai 2018 | 1:20pm
FADLAN Hazim. - Foto Aziah Azmee

Hidup gembira tanpa rokok - Fadlan Hazim

KUALA LUMPUR: Pelakon Fadlan Hazim mengaku hidupnya lebih gembira selepas berhenti merokok.

Fadlan, 26, memberitahu, keputusan itu dibuat selepas menjalani pembedahan membuang tonsil, Februari lalu.

"Sebelum ini, saya selalu demam sampai berlarutan seminggu disebabkan tonsil membengkak.

"Apabila saya buang tonsil, syukur saya tidak lagi demam dan kesihatan saya bertambah baik.

"Hidup saya lebih gembira dan ceria. Dulu saya amalkan gaya hidup yang tak sihat di mana saya merokok sejak di bangku sekolah. Ini bukan tabiat yang baik dan saya sudah serik.

"Saya tidak akan kembali merokok... Ini bukan untuk saya saja tapi pengajaran buat semua orang," katanya kepada BH Online.

Bagaimanapun, pelakon Cinta Hati Batu ini tidak menolak jika dia perlu merokok di hadapan kamera.

"Kalau merokok sekalipun, saya lakukan atas tuntutan watak seperti yang saya buat dalam filem Sangkar," katanya.

Dalam perkembangan lain, Fadlan sedang menyiapkan penggambaran drama Semerah Cinta Humairah untuk slot Samarinda TV3 bersama Janna Nick dan Fahrin Ahmad.

"Selepas habis drama Semerah Cinta Humairah, saya akan memasuki set penggambaran drama slot Akasia pula. Namun, tajuk dramanya belum diketahui," katanya.

Fadlan bersyukur tawaran berlakon tidak putus-putus diterimanya.

"Biarpun watak pembantu, saya tetap bersyukur. Siapa tahu, suatu hari nanti akan tiba rezeki saya untuk mendapat peluang yang lebih besar," katanya.

Berita Harian X