Ahad, 22 Julai 2018 | 3:14pm
PENYANYI Aishah

Aishah kecewa konsert di IB batal

KUALA LUMPUR: Penyanyi Aishah kecewa apabila konsert yang menggabungkan dirinya dengan vokalis lain di lokasi berprestij, Istana Budaya (IB), di sini, September depan, dibatalkan.

Tanpa mengetahui alasan penganjur membatalkan acara, Aishah atau nama penuhnya, Wan Aishah Wan Ariffin, 53, memberitahu, insiden itu sedikit sebanyak memberi kesan emosi kepada dirinya.

"Saya cuma dimaklumkan konsert itu dibatalkan. Sampai hari ini saya tak tahu alasan sebenar penganjur. Biarpun konsert itu menampilkan beberapa penyanyi lain, saya adalah vokalis utama.

"Sudah tentu saya kecewa... Ini kerana saya teruja untuk membuat konsert di negara sendiri.

"Saya fikir kejayaan konsert di Singapura, minggu lalu dapatlah menaikkan semangat untuk mengadakan konsert ini. Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya," luah penyanyi Janji Manismu ini kepada BH Online.

Sambil menyifatkan pembatalan konsert di IB bukan rezekinya, Aishah menaruh harapan untuk mengadakan konsert solo sementara kudratnya masih ada.

"Impian saya adalah untuk mengadakan konsert di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) dengan diiringi orkestra.

"Rasanya, semua penyanyi mengimpikan perkara yang sama. Saya ada banyak lagu popular. Sementara saya masih boleh menyanyi, rebutlah peluang itu," katanya yang baru muncul dengan single Malar.

Mengulas lagu ciptaan Hazami itu, Aishah mengaku menerima pelbagai komen daripada peminat sebaik saja single itu dipasarkan di platform digital, baru-baru ini.

"Ada yang suka dan ada juga yang tidak suka. Saya terbuka dengan pendapat mereka.

"Apabila saya dengan semula lagu itu, ada beberapa perkara yang saya tak puas hati terutama daripada segi bunyi. Saya akan buat penambahbaikan terhadap lagu itu melalui proses mastering," katanya.

Berita Harian X