Sabtu, 28 Julai 2018 | 7:48pm

Hael gelisah kerana Hajat

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer terkenal, Hael Husaini, tetap gementar menantikan reaksi peminat terhadap single terbarunya, Hajat, yang dilancarkan menerusi platform digital, semalam.

Menurut pemenang Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-32 itu, walaupun dua singlenya sebelum ini, Jampi dan Haram, mendapat sokongan baik daripada penggemar muzik, kemunculan lagu baharu terbabit tetap membuatkannya tidak senang duduk.

"Biarpun sudah mempunyai Jampi dan Haram sebelum ini, kehadiran Hajat benar-benar buat saya jadi gementar. Perasaannya tidak sama ketika saya memperkenalkan dua lagu terdahulu.

"Sudah tentu saya berharap Hajat juga akan dapat diterima ramai. Begitupun, single terbaru ini mempunyai sedikit kelainan kerana ia disuntik dengan unsur cha cha dan pop.

"Saya juga boleh katakan, Jampi, Haram dan Hajat adalah karya yang saling berkait rapat kerana ia dicipta pada waktu sama. Daripada Jampi maka terbitnya perasan cinta, diikuti Haram yang tidak membenarkan hati dua insan itu dimiliki orang lain. Hajat sekali gus umpama penamat yang membawa kisah berkenaan ke fasa seterusnya. Ia bagai isi hati mereka yang mahu berkahwin," kata Hael.

Ketiga-tiga lagu itu dihasilkan Hael bersama teman baiknya, Ezra Kong. Serentak dengan pelancaran lagu itu juga, video muzik rasmi Hajat dikongsi menerusi laman YouTube.

Hampir 24 jam dimuat naik, jumlah tontonan video berkenaan sudah menghampiri angka 300,000, selain menghuni tempat teratas kedudukan sohor kini.

HAEL Husaini memperkenalkan single terbarunya, Hajat, semalam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
HAEL Husaini memperkenalkan single terbarunya, Hajat, semalam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Mencipta kejayaan besar bersama Jampi, Hael menyimpan impian untuk melihat Haram, yang menyaksikannya berduet dengan Dayang Nurfaizah, dan Hajat mampu meraih kedudukan serupa.

"Saya bagaimanapun tidak pernah menghasilkan lagi untuk membandingkannya. Masing-masing sudah tentu mempunyai keistimewaannya tersendiri. Saya sebaliknya lebih selesa untuk meletakkan gimik pada kualiti lagu itu sendiri," katanya.

Selain untuk nyanyiannya sendiri, Hael dan Ezra turut mencipta lagu buat beberapa penyanyi lain seperti Dayang, Amira Othman, Nabila Razali, Indah Ruhaila, Elizabeth Tan dan terbaru, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X