Sabtu, 4 Ogos 2018 | 5:36pm
PENYANYI, Amylea Azizan dan Kaer Azami, akan menjayakan persembahan khas di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur pada 26 Ogos ini. - Foto Rosela Ismail
PENYANYI, Amylea Azizan dan Kaer Azami, akan menjayakan persembahan khas di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur pada 26 Ogos ini. - Foto Rosela Ismail

Ada yang ingat kami tak buat 'live show' - Amylea

KUALA LUMPUR: Kejayaan lagu Tak Pernah Hilang menambat hati peminat mendorong pasangan duet, Amylea Azizan dan Kaer Azami, untuk tampil bersama persembahan khas, Amylea X Kaer Chapter Three Showcase.

Persembahan berkenaan bakal berlangsung di pusat hiburan terkenal di ibu kota, Hard Rock Cafe, pada 26 Ogos ini.

Amylea berkata, dia cukup teruja untuk menjayakan persembahan terbabit selepas sekian lama tidak mengadakan pertunjukan khas sebegitu, apatah lagi dirinya bakal berkongsi pentas dengan sahabat baik sendiri.

"Showcase ini diadakan bagi menyatukan kembali kami berdua dengan peminat lama serta baharu memandangkan saya dan Kaer kurang aktif di televisyen. Kami turut berasakan persembahan ini antara cara terbaik untuk mendekatkan diri dengan peminat mahupun penggemar muzik.

"Memang ramai yang menonton persembahan kami secara langsung ketika mempromosikan single Tak Pernah Hilang, tetapi ia sekejap saja. Jadi, menerusi showcase ini, dapatlah kami membuat persembahan lebih panjang. Masing-masing turut mempunyai slot sendiri selain segmen duet.

"Menerusi persembahan itu juga, ia menjadi medan buat kami berdua menunjukkan kemampuan dan memperdengarkan vokal kami yang terkini. Ada orang ingat kami tidak mengadakan 'live show' (persembahan secara langsung) lagi," katanya kepada BH Online.

Dalam pada itu, Amylea berkata, persembahan terbabit juga menjadi isyarat mereka aktif dalam bidang muzik dan berupaya menyanyikan dendangan artis lain, selain lagu sendiri.

"Paling penting, ia tanda penghargaan kami buat peminat yang setia menyokong Tak Pernah Hilang sehingga mengungguli beberapa carta lagu tanah air," katanya sambil menyatakan, kejayaan lagu berkenaan sememangnya di luar jangkaan dirinya dan Kaer.

Sejak dimuat naik ke laman YouTube pada 17 April lalu, video muzik rasmi Tak Pernah Hilang, yang juga lagu tema drama bersiri popular, Nur, sudah pun meraih lebih 5.3 juta tontonan.

Selepas kemunculan single terbabit, kedua-duanya juga akan sekali lagi berduet menerusi lagu baharu. Ia juga akan dijadikan lagu tema drama bersiri, Nur 2.

Bagi peminat yang ingin menyaksikan persembahan mereka, tiket dijual pada harga RM56 dan boleh ditempah dengan menghubungi talian 011-11513683.

Berita Harian X